Maqis Pulau Pinang rampas 14,400 biji telur awet

150 buah kotak yang mengandungi telur awet tanpa permit dirampas Maqis Pulau Pinang pada 2 Ogos lalu.
150 buah kotak yang mengandungi telur awet tanpa permit dirampas Maqis Pulau Pinang pada 2 Ogos lalu.
A
A
A

BUTTERWORTH - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang merampas 14,400 biji telur awet bernilai RM21,600 dari China kerana tidak mempunyai permit import sah.

Menurut kenyataan Maqis Pulau Pinang, kesemua telur itu dirampas di Pelabuhan Pengkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT), di sini pada jam 4.30 petang, 2 Ogos lalu.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas sebuah kontena, penguat kuasa Maqis menjumpai 150 kotak telur awet tanpa permit import sah berada di dalam kontena terbabit.

"Kita merampas 14,400 biji telur dan kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 kerana mengimport telur awet tanpa mengemukakan dokumen permit import yang sah," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Kenyataan itu turut memaklumkan, Maqis sentiasa melakukan pemeriksaan di semua pintu masuk negara bagi memastikan keluaran pertanian, perikanan dan haiwan yang masuk ke dalam negara mematuhi syarat yang ditetapkan bagi menjamin kualiti dan selamat untuk dimakan oleh rakyat Malaysia.

Artikel Berkaitan: