X

Kindly register in order to view this article
!

Hanya dua dari 225 kes dapat dituduh SPRM

SHAMSUN BAHARIN
A
A

SHAH ALAM - Hanya dua kes daripada 225 kes yang dapat dituduh oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan isu-isu dibangkitkan oleh Jabatan Audit Negara berdasarkan statistik dari 2016 sehingga pertengahan tahun ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata, perkara sama berlaku saban tahun, hanya melibatkan individu atau agensi berlainan namun tindakan tidak dapat diambil memandangkan tiada undang-undang khusus.

Menurutnya, baki kes yang direkodkan tidak dapat dibuktikan di bawah kesalahan akta sedia ada dan hanya boleh dikenakan tindakan tatatertib.

“Bagaimanapun tindakan tatatertib itu tidak terlalu efektif untuk penjawat awam dan hasilnya, perkara sama berlaku setiap tahun. Isu untuk mewujudkan Peruntukan Salah Laku dalam Badan Awam bukanlah perkara baharu tetapi telah dibincangkan pada tahun 2013," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel forum bertajuk 'Antara Ketelusan dan Ketirisan: Peruntukan Salah Laku Dalam Badan Awam secara maya anjuran Transparency International Malaysia (TI-M) dengan kerjasama Malaysia Reform Initiative (Mari), US Agency for International Development (USAID), Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, Sinar Harian dan Rasuah Busters pada Rabu.

Shamshun Baharin berkata, memasukkan peruntukan baharu dalam undang undang sedia ada berkaitan salah laku penjawat awam yang menyebabkan ketirisan dan kerugian dana kerajaan secara sengaja dibincangkan dalam Pelan Anti Rasuah Nasional.

Jelasnya, banyak siasatan dilakukan oleh SPRM tetapi akhirnya mereka yang terlibat dalam ketirisan dan menyebabkan kerugian kepada kerajaan itu tidak dapat dibawa ke muka pengadilan.

“Peruntukan yang sedia ada di bawah kesalahan-kesalahan akta SPRM sekarang ialah kesalahan menerima, memberi, tuntutan atau menyalahgunakan kedudukan. Ia banyak yang berbentuk teknikal," katanya.

Beliau yang menyokong penuh cadangan peruntukan salah laku dalam badan awam berharap ia digerakkan segera supaya wang tertiris saban tahun yang mencecah jutaan ringgit dapat diselamatkan dan dimaanfaat untuk pembangunan rakyat.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!