KSU diganggu 'arahan wahyu' ahli politik

Forum bertajuk 'Antara Ketelusan dan Ketirisan: Peruntukan Salah Laku Dalam Badan Awam dianjurkan secara maya oleh TI-M dengan kerjasama Mari, US Agency for International Development (USAID), Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, Sinar Harian dan Rasuah Busters pada Rabu.
Forum bertajuk 'Antara Ketelusan dan Ketirisan: Peruntukan Salah Laku Dalam Badan Awam dianjurkan secara maya oleh TI-M dengan kerjasama Mari, US Agency for International Development (USAID), Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, Sinar Harian dan Rasuah Busters pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Wujud budaya 'arahan wahyu' diberikan kepada Ketua Setiausaha (KSU) oleh ahli politik yang menerajui satu-satu kementerian untuk memberikan sokongan kepada pihak tertentu berkaitan tender atau kontrak kerajaan.

Presiden Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar berkata, susulan campur tangan itu, KSU akan memberikan sokongan dan mengeluarkan arahan kepada orang bawahannya.

Akhbar Satar
Akhbar Satar

"Ada 'arahan wahyu' daripada ahli politik tertentu dibuat secara tidak bertulis atau sekadar perbualan telefon sahaja. Malah ada juga arahan dikeluarkan dengan hanya menulis menggunakan pensil pada surat-surat yang berkenaan.

"Menerusi kaedah itu, ahli politik tersebut akan menyatakan arahan tersebut kepada KSU untuk diikuti serta dipatuhi," katanya.

Perkara itu didedahkan oleh beliau ketika menjadi panel forum bertajuk 'Antara Ketelusan dan Ketirisan: Peruntukan Salah Laku Dalam Badan Awam secara maya anjuran Transparency International Malaysia (TI-M) dengan kerjasama Malaysia Reform Initiative (Mari), US Agency for International Development (USAID), Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, Sinar Harian dan Rasuah Busters pada Rabu.

Forum itu turut menampilkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Shamshun Bahrin; Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Badan Awam (Cuepacs), Adnan Mat sebagai panelis.

Mengulas lanjut, Akhbar berkata, cadangan menggubal peruntukan salah laku dalam badan awam untuk akta baharu bagi kegunaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) secara menyeluruh bagi melakukan penyiasatan perlu melibatkan golongan ahli politik.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, akta melibatkan perkara itu perlu digubal kerana pegawai tertinggi kerajaan akan mengikut segala kata atau arahan diberikan oleh ahli politik yang menerajui sesuatu kementerian dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"Ini melibatkan krisis integriti kepimpinan dan korupsi. Bermula daripada Perdana Menteri sehingga orang bawah, tidak boleh berlaku penyalahgunaan kuasa atau wujud elemen rasuah ketika betugas.

"Untuk itu, satu undang-undang misconduct public office di bawah Seksyen 17A yang baharu perlu digubal agar semua yang terlibat dengan isu rasuah atau salah guna kuasa boleh disiasat oleh SPRM," katanya.

Selain itu beliau berkata, sekiranya berlaku salah guna kuasa di sesebuah jabatan awam, KSU seharusnya menjawab atau bertanggungjawab sepenuhnya.

Beliau yang pernah bertugas di SPRM berkata, perkara tersebut harus dipikul sepenuhnya oleh KSU kerana beliau merupakan ketua, malah semua arahan bermula daripada kumpulan pentadbir tersebut.

Menurutnya, kebertanggungjawaban itu adalah berdasarkan isu integriti yang harus digalas sebagai ketua atau pemimpin.

"Sekiranya tidak mampu menggalas jawatan tersebut dengan baik kerana takut, maka jangan terima jawatan tersebut. Berani kerana benar.

"Biarpun akan disenarai hitam, KSU jangan ikut arahan yang diberikan oleh orang atas (ahli politik) sekiranya bercanggah dengan undang-undang negara. Ingat, kita bukan hanya akan menerima hukuman di dunia, malah hukuman lebih berat di akhirat kelak," katanya.

Sementara itu, Akhbar turut mencadangkan supaya 'Task Force' diwujudkan di dalam audit dalaman bagi memantau semua aktiviti pengurusan jabatan kerajaan kerana antara 20 hingga 30 peratus ketirisan berlaku di bahagian procument atau perolehan.

"Isu rasuah adalah sangat serius dan jangan main-main. Kerajaan mengalami kerugian antara dua hingga empat peratus di dalam Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) iaitu sebanyak RM47 bilion setahun.

"Dengan hanya RM1 bilion, kerajaan boleh membina jalan raya sepanjang 6,000 kilometer. Malah jumlah sama juga boleh menubuhkan sekitar 500 jabatan kecil atau membina sekitar 50 sekolah rendah," katanya.