20 mengaku bersalah sertai 'private party'

20 individu mengaku bersalah melanggar PKP dengan menyertai parti persendirian pada 1 Ogos lalu.
20 individu mengaku bersalah melanggar PKP dengan menyertai parti persendirian pada 1 Ogos lalu.
A
A
A

GEORGETOWN - Seramai 20 individu termasuk empat lelaki di bawah umur mengaku bersalah kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Mahkamah Sesyen Georgetown pada Rabu.

Kesemua mereka, Muhammad Faiz Fazlee, 18, Muhammad Afiq Ali, 19, Fazrul Hisham Faizal, 19, Nor Athirah Farizami Zali Zaidi, 19, Nur Umairah Mohd Rashidi, 19, Noorilyana Sufi Noorhisham, 19, Muhammad Aznil Mohd Azmi, 20, Muhamad Danial Hakim Jamil, 20, Muhammad Isa Ramli, 20, Mohamad Muhaiman Hassim, 20, Nurul Izzaty Anuar, 20, Mohammad Aidiel Nazeem Farihan, 22, Nur Farah Wahidah Roslee, 23, Nur Amira Mohd Nasir, 24, Mohamad Fekri Amri Mohd Poudzi, 25, Nur Farah Hanis Mohd Hazri, 25, dan empat lelaki bawah umur yang berusia 17 tahun mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Pertuduhan itu memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua mereka didakwa melanggar PKP dengan menyertai parti persendirian di sebuah rumah di Bukit Gambir, di sini pada 1 Ogos lalu, kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Kesemua mereka didakwa melakukan perkara itu untuk tujuan hiburan yang dianggap aktiviti yang dilarang ketika PKP dilaksanakan.

Hakim Norsalha Hamzah menetapkan jaminan RM2,000 kepada empat lelaki di bawah umur sementara menunggu laporan sosial dari Jabatan Kebajikan Masyarakat manakala 16 individu lagi masing-masing dikenakan denda RM3,000.

Mahkamah menetapkan 7 September depan untuk sebutan semula kes.

Sementara itu di Mahkamah Majistret pula, kesemua 20 individu iaitu 13 lelaki dah tujuh wanita menghadapi tiga pertuduhan berasingan kerana memiliki dadah.

Artikel Berkaitan:

Pertuduhan pertama, mereka didakwa memiliki 0.5 gram ketamin manakala pertuduhan kedua pula, mereka didakwa memiliki 0.6 gram metamphetamine dan untuk pertuduhan ketiga, mereka dituduh memiliki 0.56 gram ganja.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12 (3) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 6 dan Seksyen 12 (2) akta yang sama bagi ketiga-tiga pertuduhan tersebut.

Kesemua mereka mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan itu dan Majistret, R Manomani menetapkan jaminan RM500 setiap pertuduhan untuk keempat-empat lelaki bawah umur dan RM2,000 bagi setiap pertuduhan terhadap 16 individu lagi.

Manomani menetapkan 5 Oktober depan untuk sebutan semula sementara menunggu laporan kimia.

Di mahkamah sama, empat daripada mereka, Muhammad Isa, Mohamad Muhaiman, Nor Athirah and Nur Umairah dituduh memasukkan dadah ke dalam tubuh.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Kesemua mereka mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu dan wang jaminan ditetapkan RM1,500 bagi setiap tertuduh. Kes ditangguhkan kepada 5 Oktober untuk sebutan kes.

Di Mahkamah Majistret berasingan, enam daripada mereka, Mohamad Fekri, Muhammad Afiq, Fazrul Hisham, Nurul Izzaty, Noorilyana and Nur Farah Wahidah mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan memasukkan dadah ke dalam tubuh mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Penolong Pendaftar Mahkamah, Muna Maria Azmi yang bertindak sebagai majistret menetapkan jaminan RM1,500 kepada Mohamad Fekri manakala RM1,000 kepada lima tertuduh lain.

Kes ditangguhkan pada 5 Oktober untuk sebutan kes dan kesemua 20 tertuduh diwakili peguam RSN Rayer yang dibantu Dzvuriyah Velayit Hussein and S Shathish.