Levy kekal galas cabaran bersama The Rhinos

Levy (tengah) antara tonggak import yang memperkuatkan cabaran Sabah FC pada saingan Liga-Malaysia musim ini. - Foto Sabah FC
Levy (tengah) antara tonggak import yang memperkuatkan cabaran Sabah FC pada saingan Liga-Malaysia musim ini. - Foto Sabah FC
A
A
A

TEKA-teki adakah pemain import Levy Clement Madinda akan menyambung kontrak bersama The Rhinos akhirnya terjawab apabila beliau bersetuju untuk terus kekal dan memilih menyambung kontrak bersama Sabah FC sehingga akhir musim ini.

Pengurus Sabah FC, Marzuki Nasir berkata kontrak Levy sepatutnya berakhir pada 31 Julai lalu namun kemudiannya dipersetujui untuk dilanjutkan sehingga akhir musim ini atau 'option' sehingga 1 Mei 2022.

Sebelum ini kontrak Levy tidak dapat dimuktamadkan sama ada disambung atau sebaliknya memandangkan beliau menghadapi masalah keluarga.

“Sudah lapan bulan Levy tidak bersama keluarga serta kebetulan isterinya baru menjalani pembedahan. Inilah menjadi punca utama mengapa beliau mahu memilih pulang untuk bersama-sama isterinya.

“Sebelum ini Levy juga tidak dapat bersama dengan keluarganya sejak bermain di Liga Turki sebelum mengikat kontrak dengan Sabah FC bagi menghadapi saingan Liga Super 2021,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media selepas menyaksikan majlis menandatangani kontrak Levy Clement Madinda di Kota Kinabalu pada Rabu.

Marzuki berkata ketika ini keadaan isterinya semakin stabil manakala pihak pengurusan juga bersetuju untuk menguruskan agar isteri Levy di bawa ke Sabah dalam tempoh terdekat.

“Kita masih memerlukan khidmatnya. Lagi pun Levy juga sebenarnya masih mahu bermain dengan Sabah FC malah turut bersama-sama pasukan ke Kuala Terengganu tempoh hari,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sebelum ini telah menyebabkan keluarganya tidak dapat di bawa masuk ke Malaysia.

Khabar gembira ini diharap dapat menggembirakan semula penyokong dan para peminat Sabah FC untuk memberikan saingan sekali gus memperbaiki kedudukan dalam Liga Super.