X

Kindly register in order to view this article
!

Terpedaya harga komputer riba tidak masuk akal di Instagram

Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A

KEMAMAN - Seorang juruteknik terpaksa melupakan hasratnya untuk menggunakan komputer riba baharu selepas dia diperdaya ketika urus niaga jual beli dalam talian pada Julai lalu.

Lelaki berusia 25 tahun itu turut menanggung kerugian hampir RM1,000 apabila telah membuat beberapa pembayaran sebelum menyedari dirinya ditipu.

Menurut sumber, kejadian berlaku selepas mangsa yang berada di rumahnya di Chukai tertarik melihat satu iklan jualan komputer riba jenama Asus Vivo dengan tawaran harga yang 'tidak masuk akal' di Instagram milik individu tidak dikenali pada 27 Julai lalu.

Katanya, tertarik dengan tawaran harga tersebut, mangsa terus berhubung menerusi aplikasi WhatsApp menggunakan nombor telefon yang tertera di ruang iklan berkenaan untuk bertanya lebih lanjut.

"Selepas berurusan dengan suspek beberapa kali, mangsa tanpa berfikir panjang terus menyatakan persetujuan untuk membeli komputer riba berkenaan dengan memindahkan wang lebih RM800 ke dalam akaun diberikan tanpa membuat sebarang semakan.

"Bagaimanapun sejurus memindahkan wang berkenaan, mangsa mendapati nombor telefon yang digunakan untuk berhubung sebelum ini gagal dihubungi dan menyedari dia sudah masuk perangkap sindiket penipuan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Jelas sumber, tidak berpuas hati dirinya ditipu, mangsa mengambil keputusan membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian yang dibuat di Balai Polis daerah Chukai di sini.

Katanya, kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!