Bersih 2.0 gesa Muhyiddin panggil sidang Parlimen segera

Bersih 2.0
Bersih 2.0
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya memanggil sidang khas Parlimen pada kadar segera.

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 dalam kenyataan berkata, gesaan tersebut penting bagi membuktikan Muhyiddin mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen melalui undi percaya, dan bukannya menunggu sehingga bulan September.

“Penangguhan ini hanya akan memperpanjang ketidakstabilan politik apabila parti-parti akan mencari sokongan ahli Parlimen melalui janji habuan lantikan ke dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau jawatan dalam kabinet.

“Mereka juga menyalahgunakan badan penguatkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Peguam Negara untuk menyiasat serta mendakwa mereka yang tidak selari dengan kerajaan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Pada Selasa, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, UMNO memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan tidak akan mempertahankan kerajaan pimpinan Muhyiddin yang ternyata gagal pada mata rakyat.

Mengulas lanjut, menurut kenyataan itu, dengan penarikan sokongan lapan ahli Parlimen UMNO adalah jelas Muhyiddin tidak mendapat sokongan majoriti.

“Sekiranya kerajaan Muhyiddin berharap untuk mendapat sokongan pembangkang tanpa menggoda ahli Parlimen mereka, beliau perlu jujur mengajak pemimpin pembangkang untuk berunding Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA).

“Iaitu pembangkang bersetuju untuk menyokong Muhyiddin sebagai balasan diberikan peranan bermakna dalam jawatankuasa melawan Covid-19 dan memulihkan ekonomi,” menurutnya.

Artikel Berkaitan: