Zuraida tidak layak jadi Menteri: Pekida

Ngah (tengah) menunjukkan dua laporan polis dibuat oleh Pekida berhubung kebiadapan Zuraida terhadap Al-Sultan Abdullah di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan pada Rabu.
Ngah (tengah) menunjukkan dua laporan polis dibuat oleh Pekida berhubung kebiadapan Zuraida terhadap Al-Sultan Abdullah di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan pada Rabu.
A
A
A

KUANTAN - Pertubuhan Kebajikan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Pahang pada Rabu membuat laporan polis mengenai tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Zuraida Kamaruddin yang didakwa tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah berhubung cadangan pembatalan Ordinan Darurat.

Pengerusinya, Datuk Ngah Ismail berkata, tindakan itu juga mencerminkan keangkuhannya sedangkan titah dikeluarkan Seri Paduka Baginda selepas mendapat maklumat daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri kabinet.

"Beliau tidak layak menjadi menteri. Jangan ada lagi menteri yang bersikap seperti ini, tidak tahu Perlembagaan Malaysia dan Raja Berperlembagaan," katanya pada sidang akhbar di bandar Kuantan pada Rabu.

Ngah bersama Bendahari Pekida Kuantan, Mohd Khairul Azahar Abdul Rahim membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan berhubung kenyataan Zuraida yang dianggap biadab dan angkuh.

Pada Selasa, Zuraida menjelaskan kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara berhubung cadangan pembatalan Ordinan Darurat pada 29 Julai lalu tidak wajar.

Zuraida yang juga bekas naib presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum meninggalkan parti itu untuk menyertai Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu) berkata demikian dalam rancangan bual bicara bahasa Inggeris, Consider This di Astro Awani.

Menjawab soalan pengacara mengenai pembatalan Ordinan Darurat Zuraida berkata, sebagai anggota dalam kabinet beliau yakin ia dibuat mengikut prosedur.

"Kami mahu siasatan dan tindakan sewajarnya diambil terhadap Zuraida," ujarnya.

Artikel Berkaitan: