X

Kindly register in order to view this article
!

Warisan tidak sokong PN

Mohd Shafie
A
A

KOTA KINABALU - Parti Warisan Sabah (Warisan) sekali lagi menegaskan kekal dengan pendirian untuk tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, semua ahli Parlimen di bawah parti itu teguh untuk meminta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kabinetnya meletakkan jawatan.

Katanya, pendirian Warisan itu turut dikongsi oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Masir Kujat; Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian dan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

"Sebarang berita atau laporan yang mendakwa Warisan menyokong PN adalah palsu dan berniat jahat.

"Dengan merujuk kepada persidangan Parlimen, kami menuntut Parlimen seharusnya bersidang dengan segera bagi menunjukkan sama ada Muhyiddin mempunyai sokongan di Dewan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Katanya lagi, persidangan Dewan akan merungkai segala persoalan dan tidak perlu menunggu sehingga September.

"Gerakan usul undi percaya ini harus menjadi satu-satunya isu yang dibahas dalam sesi persidangan itu nanti.

"Ia tidak boleh dicampuradukkan dengan isu lain mengenai Rancangan Malaysia ke-12 dan belanjawan yang akan dibincangkan dalam sesi Parlimen yang dijadualkan pada September," katanya.

Sebelum ini, tular satu kenyataan media dikatakan daripada Warisan yang menyatakan sokongan kepada PN secara 'en-block'.

Selain itu, beberapa laporan turut mengaitkan Warisan mungkin akan bekerjasama dengan PN bagi mengukuhkan kerajaan yang dipimpin Muhyiddin yang dikatakan akan tumbang disebabkan keputusan UMNO yang menarik sokongan kepada beliau.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto S Padua ketika dihubungi pemberita mengesahkan bahawa kenyataan media itu adalah palsu.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!