'Waspada pemimpin ada agenda'

Abdul Hadi
Abdul Hadi
A
A
A

SHAH ALAM- Rakyat wajib berwaspada terhadap pemimpin dan parti politik yang berpegang kepada kaedah matlamat menghalalkan segala cara.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, rakyat juga perlu berwaspada dengan 'tentera' upahan khususnya media tajaan pihak asing.

Menurut Abdul Hadi, 'bala tentera upahan' ini akan memainkan peranan bagi menjayakan agenda mewujudkan kerajaan proksi yang boleh digunakan tanpa peduli rakyat yang menjadi korbannya.

"Kita mesti menolak parti dan pemimpin yang dicaturkan oleh pihak lain. Jadilah umat yang merdeka sepenuhnya. Selamatkan negara daripada dipergunakan rakyat dan tanah air oleh mereka.

"Jangan ulangi sejarah hitam yang menyedihkan. Tegakkan negara yang benar-benar merdeka dan berdaulat," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Bagaimanapun katanya, serangan pemikiran melalui media upahan menyebabkan masyarakat tidak peduli kepada politik kerana bosan sehingga meninggalkan kewajipan mempertahankan kuasa untuk menyelamatkan umat.

"Akhirnya kuasa jatuh ke tangan mereka yang menjadi alat kepada musuh tersebut," katanya.

Beliau menambah, bencana yang berlaku terhadap Afghanistan dan Iraq dijadikan medan perang menjadi pengajaran kepada semua.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa yang sama, perlu disedari bahawa tidak ada negara yang menjadi kuasa besar dunia akan kekal selama-lamanya.

"Oleh itu, jangan sekali-kali percaya kepada jaminan perlindungan yang kononnya ikhlas daripada kuasa besar itu.

"Kita wajib bersikap bijak dan tidak menjadi mangsa korban serta pangkalan atau proksi kepada pertembungan yang mengorbankan diri kita bagi pihak negara kuasa besar itu," ujarnya.