Sedia pelan holistik jika mahu kecilkan saiz penjawat awam

Dr Raduan Che Rose - Foto Bernama
Dr Raduan Che Rose - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Pelan yang holistik diperlukan jika pengecilan saiz perkhidmatan awam sedia ada perlu dilaksanakan, kata Presiden Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Raduan Che Rose.

Ini kerana, beliau berkata, bilangan penjawat awam yang dimiliki menjadi cerminan status kualiti kehidupan sesebuah negara terutamanya dalam hal melibatkan sektor pendidikan, kesihatan dan keselamatan.

“Jika saranan itu mahu dilaksanakan, kerajaan perlu menyediakan pelan jangka pendek, sederhana dan panjang bagi menjamin transisi tersebut tidak memberi kesan kepada perjalanan atau pengurusan sesebuah negara.

“Walaupun dibayar pampasan, kerajaan tetap perlu memastikan mereka yang terbabit disediakan peluang pekerjaan di sektor ekonomi lain sebelum pengecilan saiz perkhidmatan dilakukan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini, mengulas kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini, bahawa saiz 1.7 juta jumlah anggota sektor awam adalah terlalu besar.

Raduan berpandangan saiz 1.7 juta orang itu "tidak sebesar mana" jika mengambil kira bilangan 460,000 berkhidmat dalam sektor pendidikan, serta keselamatan dan kesihatan yang masing-masing berjumlah 250,000 dan 190,000 ketika ini.

Jika mengambil kira definisi penjawat awam di negara lain yang mengecualikan tiga sektor tersebut, jumlah yang tinggal hanyalah kira-kira 900,000 orang, satu nisbah sederhana bagi sebuah negara dengan populasi 34 juta penduduk, katanya.

Raduan berkata antara perkara boleh dipertimbangkan kerajaan ialah mengoptimakan guna tenaga sedia ada di 26 kementerian dengan mengelak pertindihan kerja yang wujud di kementerian tertentu selain memanfaatkan kemajuan teknologi. - Bernama

Artikel Berkaitan: