750kg daun ketum ditinggalkan di tepi muara

Seorang anggota Maritim Malaysia menunjukkan daun ketum yang ditinggalkan di dalam bot fiber tanpa nombor pendaftaran di tepi muara di Kuala Sanglang, Kedah pada jam 4.00 pagi, Rabu. - Foto ihsan Maritim Malaysia
Seorang anggota Maritim Malaysia menunjukkan daun ketum yang ditinggalkan di dalam bot fiber tanpa nombor pendaftaran di tepi muara di Kuala Sanglang, Kedah pada jam 4.00 pagi, Rabu. - Foto ihsan Maritim Malaysia
A
A
A

KUALA KEDAH - Kira-kira 750 kilogram (kg) daun ketum yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran ditinggalkan di dalam bot fiber tanpa nombor pendaftaran di tepi muara di Kuala Sanglang, Kedah pada jam 4 pagi, Rabu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Zon Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, pihaknya telah mengesan bot terbabit yang ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas bot tersebut telah menemukan 75 bungkusan plastik berwarna hitam disyaki daun ketum dengan berat 750kg yang dianggarkan bernilai sekitar RM135,000.

"Daun ketum tersebut dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran melalui jalan laut berikutan harga pasaran semasa daun ketum di Thailand telah mencecah lebih RM180 sekilogram, berbanding pasaran tempatan hanya sekitar RM70 sahaja.

"Semua hasil rampasan beserta bot fiber dan enjin dianggarkan bernilai RM198,000 itu dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kes akan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut.

Katanya, jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya.

"Maritim Malaysia memandang serius aktiviti penyeludupan barang terlarang ini. Walaupun telah banyak rampasan dan tangkapan dilakukan sebelum ini namun aktiviti ini dilihat terus aktif dilakukan oleh para penyeludup bagi mengambil jalan mudah untuk menjana pendapatan lumayan yang mencecah ribuan ringgit," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Noor Azreyanti berkata, pihaknya, akan terus memperhebatkan operasi dan pemantauan di sempadan dan perairan negara dari masa ke masa bagi membendung aktiviti penyeludupan, pencerobohan serta jenayah maritim yang berlaku di perairan utara Semenanjung Malaysia.

"Pihak Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan aduan mengenai sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut dan boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579," katanya.