MAFI catat pertumbuhan KDNK positif

Che Abdullah (dua dari kanan) diiringi Mohd Nasir merasmikan Majlis Pelancaran Program myGAP Malaysia Tanaman Bukan Makanan di Lundang, Kota Bharu.
Che Abdullah (dua dari kanan) diiringi Mohd Nasir merasmikan Majlis Pelancaran Program myGAP Malaysia Tanaman Bukan Makanan di Lundang, Kota Bharu.
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) positif sebanyak 1.1 peratus pada suku ketiga 2020 biarpun negara dalam suasana ketidaktentuan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, sumbangan industri pertanian itu diperoleh khususnya menerusi sektor agromakanan.

Beliau berkata, pencapaian itu amat positif ketika KDNK negara secara keseluruhannya menguncup kesan pandemik Covid-19.

Menurutnya, kejayaan itu hasil Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 yang dibangunkan bagi memperkukuhkan daya tahan sistem makanan negara dengan mengambil kira norma baharu dan cabaran sepanjang rantaian bekalan makanan.

“Pelan tindakan meliputi lima teras strategik iaitu perluasan penggunaan teknologi, perkasa kajian dan penyelidikan, perkasa data sekuriti makanan, perluas kolaborasi strategik dan pengukuhan jabatan dan agensi.

“Selain itu, Dasar Agro Makanan Negara 2.0 (DAN 2.0) turut mempercepatkan proses pemodenan sektor agromakanan, sekali gus menguruskan permintaan dan penawaran bekalan makanan negara selaras dengan Revolusi Industri ke-4 (IR 4.0),” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Pertanian Kelantan di Lundang di sini pada Rabu.

Beliau sebelum itu merasmikan Majlis Pelancaran Program myGAP Malaysia Tanaman Bukan Makanan yang berlangsung secara maya dan disertai 1,000 peserta dari seluruh negara.

Hadir sama ialah Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Mohd Nasir Warris.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Che Abdullah berkata, antara usaha bagi merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi, pihaknya turut memperluaskan skop pensijilan myGAP kepada Tanaman Bukan Makanan.

Katanya, ia bertujuan mengiktiraf ladang-ladang pengusaha yang mengamalkan Amalan Pertanian Baik.

“Sebagai contoh, ladang industri florikultur, tanaman hiasan dan bunga-bungaan yang akan dinilai melalui 17 elemen bermula daripada pemilihan lokasi ladang sehingga ke proses penyimpanan dan pemasaran.

“Sebagai permulaan, disasarkan sejumlah 200 usahawan akan menerima myGAP Tanaman Bukan Makanan menjelang pertengahan tahun depan,” katanya.

Tambah beliau, sejak diperkenalkan pada tahun 2002 sehingga Julai 2021, sebanyak 7,405 ladang padi, sayur-sayuran dan buah-buahan berkeluasan 33,553 hektar dipersijilkan oleh myGAP.

“Tahap kesedaran kepentingan myGAP meningkat sebagai keperluan untuk mendapat akses dan membawa produk menembusi pasaran antarabangsa,” jelas beliau.