Serah keputusan kepada Majlis Presiden PH

Nga Kor Ming
Nga Kor Ming
A
A
A

IPOH - DAP mengakui keputusan UMNO tidak mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan memberi kesan kepada pentabiran beberapa negeri termasuk Perak.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung isu terbabit, sebaliknya memilih untuk memberi tumpuan kepada tugas membantu rakyat dalam menghadapi pandemik Covid-19.

Menurutnya, dia menyerahkan kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) untuk membuat keputusan terhadap situasi semasa politik negara.

"Berdasarkan pengumuman UMNO itu semalam (Selasa), memang ia memberi kesan kepada negeri-negeri seperti Perak, Kedah, Johor, Melaka dan Sabah.

"Pada waktu ini, kami mahu fokus kepada usaha membantu rakyat dalam menangani Covid-19. Isu politik ketika ini saya enggan ulas lanjut, namun kita serah kepada Majlis Presiden PH untuk beri ulasan selanjutnya," katanya ketika ditemui pada pelancaran 'Pinji Vax On Wheel' di Pusat Komuniti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji dan Ahli Parlimen Ipoh Timur di sini pada Rabu.

Kor Ming menyerahkan dana kepada ADUN Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How untuk program 'Pinji Vax On Wheel' di Ipoh pada Rabu.
Kor Ming menyerahkan dana kepada ADUN Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How untuk program 'Pinji Vax On Wheel' di Ipoh pada Rabu.

Ditanya mengenai kesediaan partinya untuk bekerjasama dengan UMNO bagi membentuk kerajaan baharu di Perak, Kor Ming berkata, beliau menyerahkan keputusan itu kepada kepimpinan pusat.

Kerajaan negeri Perak dibentuk dengan gabungan tiga parti iaitu Barisan Nasional (BN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas.

Artikel Berkaitan:

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad ketika ini mempunyai sokongan sebanyak 34 ADUN dengan BN mempunyai 25 kerusi, diikuti Bersatu (enam) dan Pas (tiga).

PH Perak pula terdiri daripada DAP (15), Parti Amanah Negara atau Amanah (lima) dan Parti Keadilan Rakyat atau PKR (tiga).

Terdapat dua ADUN bebas iaitu Malim Nawar dan Titi Serong.