Exco Johor daripada Bersatu bertugas seperti biasa

Mohd Solihan
Mohd Solihan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Exco Kerajaan Negeri Johor daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tetap menjalankan tugas seperti biasa pada Rabu walaupun kemelut politik sedang berlaku ketika ini.

Ketua Penerangan Bersatu Johor, Mohd Solihan Badri berkata, beliau bersama tiga lagi anggota Exco daripada parti itu masih bertugas seperti biasa.

Beliau yang merupakan Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri berkata, Bersatu Johor masih menunggu arahan daripada pucuk pimpinan parti berikutan tindakan UMNO menarik sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, Bersatu Johor masih teguh bersama Muhyiddin selaku Ketua Bersatu Johor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Gambir.

"Saya dan rakan-rakan Exco daripada Bersatu masih bekerja menyelesaikan tugasan bagi memastikan kelancaran kerajaan negeri.

"Begitu juga dengan 12 ADUN Bersatu yang lain, mereka masih bekerja turun padang membantu rakyat. Semua kerja-kerja berjalan lancar mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketika pandemik ini," kata ADUN Tenang itu ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Selain Mohd Solihan, tiga lagi Exco Kerajaan Negeri Johor daripada Bersatu ialah Exco Hal Ehwal Agama Islam, Tosrin Jarvanthi (Bukit Permai) ; Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya, Mazlan Bujang (Puteri Wangsa); Exco Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia, Datuk Mohd Izhar Ahmad (Larkin).

Tujuh lagi ADUN Bersatu di Johor ialah Datuk Osman Sapian (Kempas), Datuk Dr Sahruddin Jamal (Bukit Kepong), Datuk Che Zakaria Mohd Salleh (Permas), Rasman Ithnain (Sedili), Rosleli Jahari (Johor Lama), Alwiyah Talib (Endau) dan Dr Chong Fatt Full (Pemanis).

Artikel Berkaitan: