X

Kindly register in order to view this article
!

Desak tindakan terhadap pihak ingkar titah Agong

Md Sohaimi
A
A

KUANTAN - Ulasan pihak tertentu termasuk menteri yang ingkar titah Yang di-Pertuan Agong, Al- Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah adalah biadab dan tidak berperlembagaan.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BN) Pahang, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah berkata, ia jelas kerana Seri Paduka Baginda bertindak seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, tindakan sewajarnya perlu diambil bagi memberi pengajaran berkesan kepada mereka dan sedar keperluan untuk sentiasa akur kepada prinsip kesopanan dan kesusilaan yang termaktub dalam Rukun Negara.

"Saya mewakili Kelab Penyokong BN Pahang menjunjung titah dan menzahirkan taat setia terhadap Yang di-Pertuan Agong berkaitan isu Ordinan Darurat 2021.

"Kami turut menyatakan sokongan terhadap Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail atas kepimpinan serta kenyataan beliau berkaitan isu tersebut," katanya melalui satu kenyataan pada Rabu.

Kenyataan itu sebagai maklum balas terhadap beberapa kenyataan dikeluarkan pihak tertentu yang disifatkan menyanggah titah Yang di-Pertuan Agong dalam isu Ordinan Darurat 2021 termasuk kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin sebelum ini.

Md Sohaimi berkata, sokongan pihaknya itu bagi memastikan kepimpinan Wan Rosdy yang cemerlang dan berteraskan kebajikan serta usaha menangani kemaslahatan rakyat terutama dalam tempoh pandemik Covid-19.

Zuraida melalui satu program bual bicara sebelum ini mendakwa kenyataan dikeluarkan Istana Negara berhubung pembatalan Ordinan Darurat tidak wajar kerana Yang di-Pertuan Agong perlu menurut nasihat dan boleh mendapatkan penjelasan daripada kabinet terlebih dahulu sebelum mengeluarkan titah.

Wan Rosdy sebelum ini menyifatkan ulasan beberapa pihak berkaitan isu Proklamasi Darurat dan Ordinan Darurat 2021 yang mendapat siaran dalam sesetengah media tempatan wujud unsur berbaur manipulasi.

Katanya, ulasan itu sengaja dimanipulasi sehingga lebih menjurus kepada suatu ‘political statement’ demi manfaat politik sedangkan Proklamasi Darurat dan Ordinan Darurat 2021 itu sendiri, telah termaktub secara jelas pembatalannya perlu dibentang dan dibahaskan dalam Parlimen terlebih dahulu.

Ia selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong pada perbincangan secara maya dengan wakil Kerajaan Pusat dan Peguam Negara pada 24 Julai 2021.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!