FAMA proses 5 tan metrik durian sehari atasi masalah lambakan

Wan Nora (kanan) melihat durian yang dimasukkan ke dalam bakul untuk proses pembersihan.
Wan Nora (kanan) melihat durian yang dimasukkan ke dalam bakul untuk proses pembersihan.
A
A
A

MACHANG - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kelantan memproses sebanyak lima tan metrik durian setiap hari bagi membantu mengatasi masalah lambakan buah itu di negeri ini.

Pengarahnya, Wan Nora Wan Ahmad berkata, buah berkenaan dibeli di empat daerah utama iaitu Jeli, Tanah Merah, Pasir Puteh dan Kuala Krai.

"Kami akan proses di Pusat Pemprosesan Buah-Buahan Segar FAMA di Machang.

"Pada musim ini, FAMA Kelantan menyasarkan akan memproses 100 hingga 150 metrik tan buah segar bagi mengatasi lebihan pengeluaran dengan anggaran belian RM375,000,” katanya kepada pemberita selepas meninjau aktiviti di Pusat Pemprosesan Buah-buahan Segar FAMA di Machang pada Rabu.

Turut hadir, Timbalannya, Muhamad Fadlee Hassan dan Penasihat Kompleks Pemasaran FAMA Malaysia, Mohd Ariffin Awang.

Nora memberitahu, melalui bantuan FAMA, seramai 600 pengusaha durian atau petani dari seluruh negeri berjaya dibantu.

Katanya, sehingga kini, FAMA telah mewujudkan sebanyak 12 buah pusat pemprosesan buah-buahan sejuk beku dan empat pusat pemprosesan makanan berakreditasi Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP) di seluruh negara.

“Pusat memproses ini berperanan memproses buah-buahan untuk dijadikan sebagai produk sejuk beku dan produk pemprosesan minimum.

Artikel Berkaitan:

“Antara komoditi yang terlibat ialah durian, nangka, jagung, cempedak, mangga serta buah-buahan terpilih.

"Setiap Pusat Pemprosesan Buah-Buahan Segar FAMA yang mendapat pengiktirafan Pensijilan GMP juka dibuka kepada usahawan yang ingin bekerjasama dengan FAMA bagi penggunaan pusat tersebut,” katanya.