X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 17 Oktober 2021

Suami isteri didenda RM48,000 guna dokumen palsu dapatkan tender

A
A

KOTA KINABALU - Pasangan suami isteri didenda sebanyak RM48,000 selepas mengaku salah terhadap tiga pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi mendapatkan tender membekal makanan asrama sekolah.

Tertuduh pertama, pemilik syarikat Junaidah Majin, 44, dan tertuduh kedua ahli perniagaan, Mohammad Ashpawi Mohd Yahya, 51, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Abu Bakar Manat di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, pada Rabu.

Menurut pertuduhan, kedua-dua tertuduh pada 24 November 2016 di Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Kota Kinabalu dengan niat bersama menggunakan penyata akaun bank atas nama sebuah syarikat bertarikh 31 Julai, 31 Ogos dan 30 September 2016 sebagai palsu.

Dokumen itu digunakan bagi mendapatkan tender perkhidmatan membekal makanan bermasak ke sebuah asrama sekolah di Kota Belud untuk tempoh kontrak 1 Mac 2017 hingga 28 Februari 2019.

Kedua-dua tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Pada 21 Jun lalu, tertuduh pertama dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM24,000 dan jika gagal bayar akan dipenjarakan selama empat bulan.

Bagi tertuduh kedua, mahkamah menetapkan 4 Ogos sebagai tarikh bagi menjatuhkan hukuman iaitu denda sebanyak RM24,000 dan jika gagal bayar akan dipenjarakan selama empat bulan.

Kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam dari JPKERUAK Advocates & Associates membayar denda yang dikenakan terhadap mereka.

Sebelum itu, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Norsham Saharom.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!