Empat MP pembangkang beri keterangan kepada polis

Tony Pua hadir memberi keterangan di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur pada Rabu.
Tony Pua hadir memberi keterangan di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai empat ahli Parlimen pembangkang dipanggil polis untuk dirakam keterangan bagi melengkapkan siasatan berhubung perhimpunan di Dataran Merdeka pada Isnin.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, beliau bersama ahli Parlimen pembangkang terlibat memberikan kerjasama yang baik terhadap siasatan polis tersebut.

"Saya difahamkan, ada ahli Parlimen pembangkang berada di kawasan masing-masing dan mereka memberi kerjasama penuh kepada pihak polis," katanya kepada pemberita selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini pada Rabu.

Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil

Fahmi turut menggesa Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memeriksa perjumpaan beberapa ahli politik termasuk menteri di kediaman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa.

"Beliau patut memeriksa sama ada prosedur operasi standard (SOP) seperti penjarakan fizikal telah dipatuhi. Sebagai pegawai kerajaan, beliau juga sepatutnya adil dan profesional dalam menjalankan tugas," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan berasingan, Fahmi turut membuat laporan polis terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin berhubung kenyataannya yang didakwa tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.

"Saya memohon pihak polis segera menyiasat kenyataan Zuraida itu," tegas beliau.

Sementara itu, Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua berkata, beliau memberi kerjasama penuh terhadap siasatan polis berhubung perhimpunan tersebut.

"Antara soalan yang dibangkitkan ialah isu penjarakan fizikal dan tujuan perhimpunan tersebut.

"Saya telah memberitahu bahawa ahli Parlimen pembangkang bukan berhimpun tetapi disekat masuk ke Parlimen," jelas beliau.

Selain Fahmi dan Tony Pua, dua ahli Parlimen yang memberi keterangan pada Rabu ialah Lim Lip Eng (Kepong) dan Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam).

Lip Eng yang juga pemimpin DAP merupakan individu pertama masuk ke IPD Dang Wangi pada jam 10 pagi sebelum dilihat beredar kira-kira sejam kemudian.

Maszlee pula tiba ke IPD Dang Wangi pada jam 10.30 pagi, disusuli Fahmi kira-kira 10 minit kemudian.

Dua lagi Ahli Parlimen iaitu Hannah Yeoh (Segambut) dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar) pula dijangka hadir di IPD Dang Wangi pada jam 2.30 petang Rabu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan, pihaknya menerima 206 laporan di seluruh negara berhubung perhimpunan tersebut.

"Polis membuka satu kertas siasatan mengikut Kesalahan-Kesalahan 9 dan Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan).

“Selain itu, mereka juga akan disiasat mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan juga Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012," jelas beliau.

ARTIKEL BERKAITAN: PDRM terima 206 laporan berkaitan perhimpunan MP pembangkang