Keabsahan PM, PN ditentukan di Parlimen September depan

Muhyiddin melambai ke arah media yang menunggu di hadapan kawasan kediaman beliau di Bukit Damansara hari ini. - Foto Bernama
Muhyiddin melambai ke arah media yang menunggu di hadapan kawasan kediaman beliau di Bukit Damansara hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan beliau masih mempunyai kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat untuk kekal memimpin negara buat masa ini.

Bagaimanapun, satu usul undi percaya terhadapnya akan dibentangkan di Parlimen ketika Dewan Rakyat bersidang pada bulan September ini bagi membolehkan kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan Perikatan Nasional (PN) sebagai kerajaan yang memerintah akan dapat ditentukan mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan.

Menurut Muhyiddin, cadangan itu telah disembah maklum kepada di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi menentukan keabsahannya sebagai Perdana Menteri di Parlimen.

"Saya telah dititah menghadap oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada jam 11 pagi hari ini (Rabu). Dalam majlis menghadap pagi ini, saya telah menyembah maklum bahawa saya telah menerima sejumlah surat akuan daripada Ahli-ahli Dewan Rakyat yang meyakinkan saya bahawa saya masih mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat pada masa ini.

"Sehubungan itu, peletakan jawatan saya di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berbangkit. Namun, saya juga sedar bahawa kedudukan saya sebagai Perdana Menteri seringkali dipersoalkan.

"Maka, saya telah menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa saya akan menentukan keabsahan saya sebagai Perdana Menteri di Parlimen.

"Suatu usul undi percaya kepada saya akan dibentangkan di Dewan Rakyat ketika Dewan Rakyat bersidang pada bulan September. Al-Sultan Abdullah telah memperkenankan cadangan berkenaan," katanya dalam satu perutusan khas disiar secara langsung oleh stesen televisyen tempatan pada Rabu.

Muhyiddin menjelaskan, Yang di-Pertuan Agong memaklumkan terdapat lapan orang Ahli Parlimen UMNO menulis surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat bahawa mereka telah menarik sokongan kepadanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam warkah berkenaan, Seri Paduka Baginda telah memetik dua peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Pertama, Perkara 43 (2) (a) iaitu: Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu”.

"Kedua, Perkara 43 (4) iaitu: Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong”.

"Sehubungan itu, peletakan jawatan saya di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berbangkit," ujarnya.

Beliau menambah, Jemaah Menteri dan jentera pentadbiran kerajaan akan terus berfungsi untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat dan negara, khususnya dalam menangani pandemik Covid-19.