PPV bergerak MAIWP sasar vaksin Covid-19 kepada 7,500 penerima

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyasarkan memberi suntikan vaksin kepada 7,500 penerima menerusi pelancaran Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergeraknya yang bermula Rabu hingga 12 September.

Pengerusi MAIWP, Datuk Dr Mohd Daud Bakar berkata, inisiatif tersebut bertujuan membantu usaha kerajaan mempercepatkan imuniti kelompok bagi mencegah penularan Covid-19 dengan sasaran utama golongan asnaf penerima bantuan Baitulmal MAIWP yang belum menerima tarikh janji temu di MySejahtera.

"Kami cuba untuk menjadi pemudah cara dan mendekatkan lagi proses vaksinasi dengan masyarakat sedekat yang mungkin, terutama buat mereka yang uzur dan tua.

"Ada dalam kalangan masyarakat kita yang rasa susah dan jauh (untuk terima vaksin), jadi bila ada tawaran yang dekat dengan tempat tinggal, mereka terpanggil untuk datang," katanya kepada pemberita pada pelancaran program tersebut di sini pada Rabu.

Mohd Daud berkata, PPV Bergerak itu akan beroperasi di empat lokasi di ibu kota yang juga berhampiran dengan kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) iaitu di Dewan Serbaguna Bandar Tun Razak, Dewan Serbaguna Air Panas Setiawangsa, Dewan Serbaguna Taman Maluri dan Pusat Komuniti Sri Petaling.

Sementara itu, penerima vaksin Ramli Darus, 69, menzahirkan rasa syukur kerana menerima vaksin dengan mudah dan lancar tanpa perlu bergerak jauh.

"Alhamdulillah semuanya lancar, sekejap sahaja dah selesai urusan vaksin," katanya.

Eksekutif insurans Mohd Mahathir Ahmad Tajuddin, 29, turut berasa lega kerana akhirnya menerima vaksin selepas terpaksa menolak tawaran sebelum ini kerana dijangkiti Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Sebenarnya saya sahaja yang dapat janji temu di MySejahtera, tapi dapat mesej boleh bawa tanggungan sekali, jadi saya bawa isteri untuk terima vaksin bersama," katanya. - Bernama