Kursus penggeledahan peringkat antarabangsa secara dalam talian

Kursus secara dalam talian selama tiga hari memberi penekanan kepada operasi penggeledahan dan pemeriksaan kapal dan bot di laut. -Foto Maritim Malaysia Pahang
Kursus secara dalam talian selama tiga hari memberi penekanan kepada operasi penggeledahan dan pemeriksaan kapal dan bot di laut. -Foto Maritim Malaysia Pahang
A
A
A

KUANTAN - Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (Amsas) buat julung kalinya menganjurkan kursus penggeledahan peringkat antarabangsa secara dalam talian melibatkan penyertaan peserta daripada tiga negara Asia.

Kursus 'International Interdiction Boarding and Inspection Course' (IIBIC) 2021 itu dikendalikan sepenuhnya secara dalam talian bermula 27 hingga 29 Julai lalu.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang dalam satu kenyataan berkata, keupayaan Amsas mengendalikan kursus tersebut rentetan pengiktirafan Kementerian Luar Negeri berikutan kerjasama dengan Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) sejak 16 Oktober tahun lalu.

Menurut kenyataan itu, kursus penggeledahan itu ditawarkan kepada semua negara Asia melalui Kementerian Luar Negeri dan MTCP terutama kepada pegawai yang mempunyai latar belakang dalam mengendalikan penggeledahan serta tangkapan di lapangan negara masing-masing.

"Kursus tersebut disertai sembilan peserta dari tiga negara iaitu Vietnam, Maldives dan Laos.

"Pelaksanaan kursus ini menepati serta selari dengan bidang kerja Maritim Malaysia yang memberi penekanan kepada operasi penggeledahan dan pemeriksaan kapal dan bot di laut," kata kenyataan tersebut pada Rabu.

Kursus yang berlangsung selama tiga hari itu disempurnakan majlis penutupnya oleh Pengarah Amsas, Laksamana Pertama Maritim Rozali Mohd Said.

Artikel Berkaitan: