Pemerdagangan manusia: Selebriti lelaki dibebas dengan jaminan polis

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

SEREMBAN - Selebriti lelaki yang ditahan pada Ahad lepas kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pemerdagangan manusia dibebaskan dengan jaminan polis pada Selasa.

Perkara itu disahkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Ramlan Abdul Razak ketika dihubungi Bernama pada Rabu.

“Kami dah bagi jamin semalam, bagaimanapun kes ini masih dalam siasatan,” katanya.

Pada Selasa, media melaporkan selebriti lelaki berumur 40-an itu ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi seks dalam satu sekatan jalan raya di sekitar negeri ini.

ARTIKEL BERKAITAN: [EKSKLUSIF] Pelawak ditahan kes pemerdagangan manusia

Susulan penangkapan itu, polis turut menyelamatkan seorang wanita berketurunan Melanau di sebuah bilik hotel di Kuala Pilah dekat sini dan mendapat perintah perlindungan sementara untuk ditempatkan di sebuah rumah perlindungan di Johor.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Lelaki itu turut dikenakan kompaun atas kesalahan rentas negeri tanpa kebenaran di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan). - Bernama

Artikel Berkaitan: