Muhyiddin selesai menghadap Agong

Muhyiddin selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Rabu.
Muhyiddin selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di sini pada Rabu.

Kenderaan yang membawa Ahli Parlimen Pagoh itu dilihat keluar daripada Pintu 1, Istana Negara pada jam 11.50 iaitu 50 minit selepas tiba pada jam 11 pagi tadi.

Sebelum Muhyiddin, kenderaan yang membawa Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dilihat terlebih dahulu memasuki Pintu 2 pada jam 9.30 pagi.

Keabsahan Muhyiddin kini menjadi tanda tanya susulan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Selasa yang membuat ketetapan untuk tidak mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Beberapa ahli Parlimen parti itu difahamkan sudah menandatangani aku janji menarik sokongan terhadap Muhyiddin untuk dipersembah kepada Seri Paduka Baginda.

Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah yang juga ahli MKT UMNO menjadi yang pertama letak jawatan sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli dan dijangka lebih ramai akan berbuat demikian dalam tempoh 48 jam.

Tindakan UMNO telah menimbulkan persoalan mengenai jumlah terkini sokongan majoriti ahli Parlimen kepada kerajaan PN dan Muhyiddin.

Pintu 1 dan 2 Istana Negara hari ini menjadi tumpuan media sejak jam 7 pagi tadi bagi mendapatkan perkembangan semasa politik negara.

Artikel Berkaitan: