X

Kindly register in order to view this article
!

Kedah tidak terkesan dengan tindakan UMNO

Muhammad Sanusi
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah tidak tergugat dengan tindakan UMNO menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tindakan UMNO itu tidak memberi kesan kepada Kedah kerana kerajaan negeri bawah pimpinan Pas masih mempunyai majoriti.

Menurutnya, kedudukan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah masih stabil walaupun UMNO tidak lagi bersama PN Kedah kerana wakil parti itu di negeri ini hanya ada dua ADUN.

"Di Kedah tiada isu, Pas mempunyai 15 kerusi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memiliki enam kerusi, manakala UMNO dua kerusi, menjadikan keseluruhan sebanyak 23 kerusi.

"Majoriti mudah kita perlu 19 kerusi sahaja, bermakna ia tidak beri kesan kepada Kedah," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional Kedah membentuk kerajaan negeri PN di Kedah selepas mendapat sokongan 23 ADUN termasuk Bersatu dan UMNO pada Mei tahun lalu.

Dua kerusi UMNO di Kedah diwakili oleh ADUN Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob dan ADUN Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Noor.

Pakatan Harapan (PH) Kedah mempunyai 13 kerusi, terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebanyak lima kerusi, Parti Amanah Negara (Amanah) empat kerusi, manakala DAP dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) masing-masing dua kerusi.

Pada Selasa, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebulat suara menarik sokongan kepada kerajaan PN dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, UMNO memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah dan tidak akan mempertahankan kerajaan PN yang didakwa gagal pada mata rakyat selaras Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!