Pembiayaan Tuns, PKNNS nafi lantik pihak ketiga

Maklumat yang tular berhubung permohonan Tuns oleh pihak ketiga dipaparkan di Facebook rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan.
Maklumat yang tular berhubung permohonan Tuns oleh pihak ketiga dipaparkan di Facebook rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan.
A
A
A

SEREMBAN- Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS) menafikan melantik mana-mana pihak ketiga bagi tujuan mempromosi dan memproses pembiayaan di bawah seliaan PKNNS iaitu Tabung Pembangunan Usahawan Negeri Sembilan (Tuns) dan Tabung Pembangunan Usahawan Negeri Sembilan Plus (Tuns Plus).

Menerusi kenyataan di laman sosial Facebook rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menjelaskan semua urusan berkaitan permohonan pembiayaan tersebut hanya melibatkan Pusat Runding Cara Usahawan Negeri Sembilan (PRUNS) kendalian PKNNS dan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) sahaja.

"Ia juga perlu dimohon secara atas talian melalui pautan Tuns (https://tuns.my/2021/); dan Tuns Plus (https://tuns.my/2021_plus/).

"Bagi sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut berkaitan pembiayaan tersebut, para usahawan boleh berhubung terus dengan Pusat Runding Cara Usahawan Negeri Sembilan (PRUNS)," kata kenyataan itu.

Katanya lagi, maklumat rasmi mengenai pembiayaan ini boleh diperoleh melalui media sosial www.facebook.com/PRUNS.PKNNS dan laman web PKNNS di alamat www.pknns.gov.my.

Baru-baru ini tular apabila terdapat pihak ketiga mempromosi dan memproses pembiayaan di bawah seliaan PKNNS melibatkan Tuns dan Tuns Plus sekali gus situasi itu didakwa mengelirukan orang ramai.

Sementara itu, media sebelum ini melaporkan usahawan mikro di Negeri Sembilan boleh membuat permohonan Tuns mulai 1 Ogos hingga 30 Ogos ini.

Jelas Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek pembukaan permohonan Tuns pada Ogos ini bakal memberi peluang kepada 600 usahawan mikro yang membabitkan peruntukan sekitar RM1.8 juta.

Artikel Berkaitan: