Pekerja rumah kebajikan didakwa lakukan amang seksual, rogol

Tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan merogol dan lakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan.
Tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan merogol dan lakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Seorang pekerja rumah kebajikan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas empat pertuduhan melakukan amang seksual dan merogol terhadap kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun.

Tertuduh yang berusia 42 tahun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan hakim, Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

Lelaki itu didakwa terhadap tiga pertuduhan melakukan amang seksual terhadap mangsa dengan pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap kanak-kanak 2017 yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebat bagi setiap setiap pertuduhan.

Tertuduh juga berdepan pertuduhan merogol mangsa dengan pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 376 (2) (e) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah kebajikan di Taman Century di sini sekitar Mei lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Chan Choon Yew yang mengendalikan pendakwaan tidak mencadangkan sebarang jaminan terhadap tertuduh kerana mangsa masih berada di rumah kebajikan terbabit yang merupakan tempat tertuduh bekerja.

Tertuduh tidak diwakili peguam memohon agar dibenarkan jaminan kerana mempunyai dua orang anak.

Mahkamah memutuskan tiada sebarang jaminan dibenarkan terhadap tertuduh dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 22 September depan.

Artikel Berkaitan:

Pada 28 Julai, media melaporkan seorang lelaki ditahan polis bagi membantu siasatan kes rogol kanak-kanak perempuan yang juga penghuni sebuah rumah kebajikan di sini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain mengesahkan telah menerima laporan polis daripada seorang penjaga rumah kebajikan itu berhubung kejadian tersebut.