'Bukan sengaja wakilkan isteri'

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun (tiga berdiri, kiri) bergambar bersama tetamu, ibu bapa dan pelajar pada Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Warisan Putri, Sikamat, hari ini. - Foto Bernama
A
A

SEREMBAN - Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun hari ini menjelaskan bahawa beliau tidak dapat menghadiri satu program di sebuah sekolah menengah di Sikamat di sini semalam kerana dipanggil menghadap ke istana pada waktu yang sama.

Katanya, sebaliknya pihak sekolah sendiri yang sebelum itu telah menjemput kedua-dua beliau dan isteri, Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof, ke majlis itu yang meminta Wan Hasni mewakilinya selepas dimaklumkan beliau tidak dapat hadir.

Aminuddin dan isteri di dijemput ke Majlis Penyerahan Bantuan Persekolahan dan Perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Mohd Redza, Sikamat semalam, yang sepatutnya dirasmikan oleh Menteri Besar itu.

Beliau berkata perkara itu bukanlah sesuatu yang disengajakan dan pihak sekolah juga sudah maklum terlebih dahulu bahawa hanya isterinya sahaja yang dapat menghadiri majlis itu, katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Persekolahan dan Perasmian Mesyuarat Agung PIBG SMK Warisan Puteri di sini.

Beliau mengulas kritikan bekas Ketua Cabang PKR Rembau, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Che'gu Bard di laman sosial Facebook yang mempertikaikan tindakan Wan Hasni mewakili Menteri Besar merasmikan program di SMK Dato' Mohd Redza itu.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata beliau tidak nampak sebarang masalah timbul dalam isu tersebut dan berharap perkara kecil tidak dijadikan isu kerana banyak perkara lain yang perlu ditangani oleh para pemimpin.

"Sesiapa pun boleh mempertikaikan apa-apa aktiviti tetapi bagi saya, yang penting ialah aktiviti sekolah berjalan dengan lancar. Sebelum ini, ada juga isteri pemimpin yang mewakili suami mereka untuk hadir ke program tertentu seperti mengaji atau membabitkan hal ehwal wanita tetapi tidak pula dipertikaikan," katanya.- Bernama