Suri rumah rugi RM45,000 ditipu pelaburan bitcoin

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Hanya kerana keinginan untuk cepat kaya, seorang suri rumah berputih mata selepas semua wang simpanannya berjumlah RM45,000 lesap akibat diperdaya pelaburan bitcoin tidak wujud pada 26 Julai lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 56 tahun dikatakan berminat untuk melabur selepas melihat satu iklan dan terus membuat pendaftaran dengan sebuah syarikat bagi tujuan pelaburan.

Menurut beliau, selepas itu, mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki bernama David Kaminsky memaklumkan wang pelaburan akan digandakan ratusan ribu jika berminat untuk melabur.

"Pada 27 Julai, jam 4.32 petang, mangsa telah membuat pemindahan wang sebanyak RM30,000 melalui aplikasi bitcoin.

"Kemudian, pada keesokan harinya, kira-kira jam 3.26 petang, mangsa memasukkan lagi wang sebanyak RM15,000 melalui bitcoin yang sama," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, pada Isnin lalu, mangsa menerima panggilan dari David Kaminsky minta kemasukan wang RM50,000 bagi tujuan pembayaran cukai keuntungan.

Jelasnya, suspek mendakwa mangsa akan memperoleh keuntungan pelaburan RM480,000 seandainya memasukkan wang seperti diminta.

"Bagaimanapun mangsa tidak mengendahkan permintaan itu kerana wang simpanannya sudah habis dilaburkan selain mula mengesyaki ditipu.

Artikel Berkaitan:

"Susulan itu, mangsa telah tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan petang Selasa," katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd Wazir memaklumkan seorang pelajar berusia 21 tahun turut menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud sehingga menyebabkan kerugian RM10,960.

Menurut beliau, mangsa berminat untuk melabur selepas diperkenalkan rakannya mengenai perolehan berganda sekiranya melabur.

Katanya, bermula pada 28 Mei hingga Isnin lalu mangsa telah membuat tujuh transaksi wang berjumlah RM10,960 ke dalam akuan syarikat pelaburan.

"Selepas itu, mangsa menghubungi rakannya memaklumkan wang sudah dimasukkan, sebaliknya mangsa diberitahu bahawa akaun terbabit telah disekat pihak bank.

"Mangsa kemudian menghubungi semula rakannya, namun panggilan itu telah disekat. Mangsa berasa tertipu dan telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan pada petang Selasa," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun selain sebatan dan denda.