The Rhinos tekad akhiri kemarau kemenangan

Pemain Sabah FC giat menjalani latihan bagi mengharungi baki saingan Liga Super. - Foto Sabah FC
Pemain Sabah FC giat menjalani latihan bagi mengharungi baki saingan Liga Super. - Foto Sabah FC
A
A
A

SABAH FC berharap kehadiran semula beberapa tonggak utama The Rhinos yang tidak beraksi minggu lalu mampu membantu kelab itu meraih tiga mata menjelang perlawanan Liga Super menentang KL City FC di Stadium Likas malam ini.

Ketua Jurulatih Sabah FC, Kurniawan Dwi Yulianto berkata, setakat ini The Rhinos masih belum melakar kemenangan dalam tiga perlawanan terakhir selepas saingan liga disambung semula setelah berehat hampir dua bulan.

“Esok malam (malam ini) perlawanan yang sangat penting kerana kita perlu meraih tiga mata untuk mengukuhkan peluang serta memperbaiki kedudukan Sabah FC di liga.

"Paling mengembirakan lagi semua pemain juga dapat beraksi kecuali penyerang import, Josip Ivancic yang cedera ketika aksi menentang Terengganu FC minggu lalu dan juga Park Taesu yang masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada masa sama, Kurniawan berkata, ketika sesi latihan terakhir The Rhinos petang semalam beliau sudah mengenal pasti calon terbaik untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Josip.

“Kita mempunyai beberapa pemain yang tidak beraksi di Kuala Terengganu minggu lalu seperti Alto Linus dan Randy Baruh yang kini berada dalam tahap terbaik mereka untuk diturunkan dalam kesebelasan utama menentang KL City.

"Saya percaya kehadiran mereka sudah tentu memberi impak positif, malah berharap apa yang dirancang dapat diterjemahkan dalam bentuk tiga mata selain doa daripada penyokong dan peminat setia Sabah FC,” katanya.

Untuk rekod, Sabah FC meraih satu mata selepas seri tanpa jaringan pada aksi menentang KL City FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur sebelum ini.

Artikel Berkaitan: