Elak berpakaian seksi ketika pergi cucuk vaksin

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

DI media sosial baru-baru ini tular klip video seorang influencer wanita berpakaian seksi ketika menerima suntikan vaksin di pusat pemberian vaksin (PPV) sehingga mengundang kecaman netizen.

Pada mulanya wanita itu memakai baju kemeja lengan panjang yang agak sopan. Namun, dia kemudian membuka separuh butang bajunya sehingga menampakkan pakaian dalam di hadapan petugas kesihatan lelaki yang akan memberi suntikan vaksin.

Soal berpakaian ini nampak remeh tetapi bagi Merak Jalanan ia sangat penting untuk memudahkan urusan semasa pengambilan vaksin.

Suntikan vaksin akan diberikan pada otot bahu sama ada bahu kiri atau kanan, jadi pakailah pakaian yang sesuai.

Bayangkan jika wanita hadir ke PPV dengan kebaya ketat dan tudung lilit 360 darjah, pasti sangat sukar dan perlu mengambil masa yang lama untuk mendedahkan bahagian bahu.

Lelaki pula mungkin terpaksa mendedahkan dada bidang jika mengenakan kemeja lengan panjang yang ketat.

Setahu Merak Jalanan, Kementerian Kesihatan ada menyediakan tatacara berpakaian untuk penerima vaksin. Ini termasuklah memilih pakaian lengan pendek yang longgar dan selesa.

Untuk wanita berhijab, kenakanlah pakaian dua lapis dengan satu pakaian longgar lengan pendek di bahagian dalam manakala kardigan lengan panjang di bahagian luar.

Artikel Berkaitan:

KKM juga meminta orang ramai berpakaian sopan termasuk tidak memakai seluar atau skirt pendek selain baju tanpa lengan apabila datang ke PPV.

Merak Jalanan perhatikan kebanyakan PPV tidak kisah dengan pakaian penerima vaksin, bahkan membenarkan pakaian dinosaur dan watak adiwira. Yang pakai kostum Donald Duck dan Ultraman pun ada.

Cuma pesan Merak Jalanan, pakailah pakaian yang elok dipandang. PPV adalah tempat tumpuan ramai orang yang adakalanya mengambil masa yang lama. Mungkin ada yang tidak selesa dengan pakaian kita.