Semua Ahli Parlimen UMNO perlu tarik sokongan

Mohd Zolkafly
Mohd Zolkafly
A
A
A

IPOH - UMNO Perak menggesa semua Ahli Parlimen UMNO untuk melaksanakan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu dengan menarik semula sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional (PN) serta merta.

Ketua Penerangannya, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, keputusan yang dibuat oleh Ahli MKT UMNO bukan mengikut nafsu tetapi bertunjangkan keluhan rakyat dan ahli akar umbi.

Jelas beliau, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ahli MKT telah membuktikan bahawa UMNO merupakan sebuah parti yang amat menjunjung tinggi Prinsip Rukun Negara serta mendaulatkan institusi Raja-Raja Melayu selari dengan Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.

"Alhamdulillah, segala puji dan kesyukuran saya panjatkan kepada ALLAH SWT yang telah membuka hati ahli-ahli MKT UMNO dalam membuat keputusan yang tegas serta penuh kesepakatan.

"Ahli-Ahli Parlimen UMNO perlu melaksanakan keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO dengan menarik semula sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Perdana Menteri Malaysia serta-merta. Inilah masanya ahli membuktikan sikap taat setia kepada parti," katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Selasa.

Sementara itu, Mohd Zolkafly turut merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah kerana menjunjung tinggi keputusan yang dibuat oleh Ahli MKT UMNO dengan meletakkan jawatan di dalam jemaah menteri.

Menurutnya, UMNO merupakan parti akar umbi yang akan terus berjuang membawa suara rakyat tanpa noktah.

UMNO menerusi kenyataan pada Selasa mengambil pendirian tidak mempertahankan kerajaan PN sekali gus menyaksikan keabsahan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kini terbatal.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Zahid ketika sidang media berkata, keputusan berkenaan dibuat dalam MKT yang berlangsung pada Selasa.

Pada hari yang sama, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Shamsul Anuar mengumumkan peletakan jawatan sebagai jawatan sebagai Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan.