Kerajaan masih kekal walaupun UMNO tarik sokongan

Muhammad Tawfik semasa program Wacana Sinar edisi ke-277 yang bertajuk 'Apa ‘Cer’ Politik Malaysia' pada Selasa.
Muhammad Tawfik semasa program Wacana Sinar edisi ke-277 yang bertajuk 'Apa ‘Cer’ Politik Malaysia' pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) masih lagi kekal menjadi blok kerajaan walaupun Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan telah menarik sokongan mereka pada petang Selasa.

Penganalisis politik, Dr Muhammad Tawfik Yaakub berkata, ini kerana proses untuk menjatuhkan PN daripada kerajaan mengambil masa yang panjang dan tarikan sokongan hanya baru permulaan.

“Saya lihat hari ini dalam konteks petang tadi, kerajaan masih kekal kerana prosesnya baru bermula. Kita tidak boleh katakan pertukaran kerajaan seperti tukar baju yang hanya sekelip mata. Mesti ada proses.

“Proses ini mesti berlandaskan perlembagaan Persekutuan. Orang ramai atau ahli politik atau mana-mana parti politik boleh mengakui mereka sudah cukup majoriti, sudah ada nama, tapi adakah ia berdasarkan perlembagaan Persekutuan?” soalnya.

Beliau berkata demikian pada program Wacana Sinar edisi ke-277 yang bertajuk "Apa ‘Cer’ Politik Malaysia" yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Selasa.

Turut menjadi panelis, Penganalisis politik, Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi dan Pakar perlembagaan, Profesor Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz manakala Ismail Adnan selaku moderator.

Mengulas lanjut, katanya, keadaan politik yang berlaku hari ini merupakan satu perpecahan terbesar kepada parti UMNO.

Jelas beliau, ia berlaku apabila ahli politik yang mementingkan diri sendiri dan bercita-cita untuk mendapatkan kuasa yang lebih besar di peringkat Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

“Saya lihat, apa yang berlaku dalam tempoh satu atau dua hari ini, akan mengambil satu keadaan yang tidak menentu dan tidak menstabilkan politik negara.

“Bagaimanakah percaturan politik antara blok pembangkang untuk turut serta membentuk kerajaan. Semestinya Tun Dr Mahathir Mohamad akan menolak kerjasama dengan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang berada dalam kluster mahkamah,” ujarnya.

Dari atas kiri: Ismail, Muhammad Tawfik manakal dari bawah kiri: Awang Azman dan Shamrahayu semasa program Wacana Sinar edisi ke-277 bertajuk 'Apa ‘Cer’ Politik Malaysia' pada Selasa.
Dari atas kiri: Ismail, Muhammad Tawfik manakal dari bawah kiri: Awang Azman dan Shamrahayu semasa program Wacana Sinar edisi ke-277 bertajuk 'Apa ‘Cer’ Politik Malaysia' pada Selasa.

Tambah Muhammad Tawfik, kerajaan jajaran baharu yang berkemungkinan akan dibentuk itu dilihat tidak begitu kukuh untuk mentadbir negara.

Jelasnya, ini kerana terdapat ahli UMNO yang akan berasa kecewa apabila tidak dilantik menjadi menteri atau sebagainya dan menyebabkan kucar-kacir dalam pemerintahan.

“Apa yang rakyat boleh lakukan hari ini ialah perlu bertenang. Kita mempunyai satu lagi payung iaitu Yang di-Pertuan Agong untuk menggunakan kuasa Seri Paduka Baginda berdasarkan perlembagaan menyelesaikannya dengan penuh cermat.

“Apa yang berlaku dalam politik negara hari ini, mesti ada penyelesaiannya. Saya pasti, pilihan raya bukan jawapan cukup tepat untuk selesaikan masalah memandangkan keadaan Covid-19 yang cukup tinggi ini,” ujarnya.

Selain itu, mengulas berkaitan peluang Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim untuk mentadbir negara, katanya, pemimpin tersebut tidak lagi mampu untuk mentadbir negara disebabkan kekacauan dan pergelutan yang dilakukan mereka.

Jelas beliau, ‘dinasour' politik lama itu perlu berehat daripada terus aktif kerana dikatakan membawa naratif lama dalam politik Malaysia.

“Anak muda memerlukan kesegaran politik baharu yang boleh menunjukkan hala tuju yang cerah. Kalau pemimpin lama ini mempunyai jiwa yang besar, sayang akan negara, mereka perlu segera berundur.

“Beri ruang baharu kepada politik negara. Saya tidak suka kepada naratif politik lama kerana kita sebenarnya sedang bergerak ke arah yang lebih terbuka, maju dan menerima idea baru yang lebih segar,” ujarnya.