Lantik kerajaan, Perdana Menteri interim semasa krisis politik

Awang Azman semasa program Wacana Sinar edisi ke-277 yang bertajuk 'Apa ‘Cer’ Politik Malaysia' pada Selasa.
Awang Azman semasa program Wacana Sinar edisi ke-277 yang bertajuk 'Apa ‘Cer’ Politik Malaysia' pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM- Penganalisis politik, Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi mencadangkan agar pembentukan kerajaan dan pelantikan Perdana Menteri interim perlu dilakukan semasa krisis atau ketiadaan majoriti pada ketika ini.

Menurutnya, pembentukan tersebut adalah hasil daripada gabungan semua parti politik dan tidak menyebelahi sesebuah parti sahaja.

“Perdana Menteri interim yang dilantik perlu mempunyai sifat yang dilihat tidak memihak kepada parti sendiri.

“Namun, perlu beri fokus kepada menangani isu Covid-19 dengan berkesan, pulihkan ekonomi sehingga keadaan yang munasabah untuk adakan pilihan raya umum kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Wacana Sinar edisi ke-277 yang bertajuk "Apa ‘Cer’ Politik Malaysia" yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Selasa.

Turut menjadi panelis, penganalisis politik, Dr Muhammad Tawfik Yaakub dan pakar Perlembagaan, Profesor Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz manakala Ismail Adnan selaku moderator.

Mengulas lanjut, beliau berkata, antara kriteria yang boleh diguna pakai untuk melantik Perdana Menteri interim adalah mesti dihormati semua ahli politik dan tidak mempunyai masalah dengan ahli politik lain.

Selain itu, calon itu mesti membuat satu perjanjian bahawa tidak akan menjadi Perdana Menteri akan datang bagi mengelakkan kepentingan peribadi.

Artikel Berkaitan:

“Yang di-Pertuan Agong akan menentukan siapa yang Seri Paduka Baginda rasa yakin untuk dapat sokongan semua pihak untuk jadi Perdana Menteri interim.

“Pihak parti boleh menyerahkan nama kepada Baginda Tuanku. Tapi terpulang kepada kebijaksanaan Seri Paduka Baginda untuk memilih. Kita tidak layak menyatakan orang itu tidak layak. Ini di luar kuasa kita sebagai rakyat biasa.

“Ini pendekatan terbaik, tanpa perlu bubarkan Parlimen, tanpa perlu panjangkan pergolakan politik semasa ini,” ujarnya.

Beliau mencadangkan, kerajaan interim tersebut perlu memerintah dalam tempoh enam bulan sehingga setahun bagi memulihkan kembali kerajaan.