Pengalaman berharga Nuraisyah-Juni Karimah

Aksi Nuraisyah (kiri) dan Juni Karimah dalam dua perlumbaan terakhir acara pelayaran International 470 wanita di Enoshima Yacht Harbour pada Selasa. -Foto Bernama
Aksi Nuraisyah (kiri) dan Juni Karimah dalam dua perlumbaan terakhir acara pelayaran International 470 wanita di Enoshima Yacht Harbour pada Selasa. -Foto Bernama
A
A
A

GANDINGAN pelayar negara, Nuraisyah Jamil-Juni Karimah Noor Jamali menamatkan kempen Olimpik pertama di Tokyo di tangga ke-19 daripada 21 pelayar secara keseluruhan dalam saingan yang berlangsung di Enoshima Yacht Harbour pada Selasa.

Pasangan yang dibimbing jurulatih kebangsaan Muhammad Sahir A.Rahim itu memperoleh 158 mata bersih terkumpul selepas 10 perlumbaan.

Kedudukan itu menyaksikan Nuraisyah-Juni tidak berjaya dalam percubaan mereka berada dalam kelompok 10 terbaik dan seterusnya terlepas peluang beraksi dalam perlumbaan perebutan pingat esok.

Bagaimanapun, pasangan negara itu menampilkan aksi terpuji apabila menamatkan perlumbaan terakhir mereka pada hari ini di tangga ke-11, pencapaian terbaik mereka sepanjang sepuluh perlumbaan.

Mereka berjaya memperbaiki kedudukan apabila naik enam tangga dalam perlumbaan terakhir mereka itu selepas menduduki tempat ke-17 pada perlumbaan kesembilan tengah hari tadi.

Pasangan dari Great Britain, Hannah Mills-Eilidh McIntyre kini berada di landasan tepat untuk merangkul emas dengan 28 mata bersih manakala gandingan Perancis Camille Lecointre-Aloise Retornaz (FRA) di tempat kedua selepas mengumpul 42 mata bersih dan diekori rapat oleh Agnieszka Skrzypulec-Jolanta Ogar dari Poland dengan 46 mata bersih.

Perlumbaan kesembilan dan ke-10 yang sepatutnya berlangsung semalam ditangguh ke hari ini akibat kekurangan kelajuan angin di kawasan pulau di Teluk Sagami itu.

Sementara itu, Muhammad Sahir menyifatkan prestasi ditampilkan anak buahnya dalam hari kelima perlumbaan itu sangat luar biasa terutamanya dalam perlumbaan ke-10 yang menyaksikan mereka berjaya memberi tentangan sengit untuk cuba berada dalam kedudukan 10 teratas.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga berkata, pasangan negara itu dilihat mengekalkan konsentrasi dan fokus kepada perubahan angin serta bijak mengambil peluang dalam perlumbaan terakhir itu.

“Hari demi hari jurulatih telah merumuskan beberapa kesilapan besar dan kecil dan pada hari ini mereka kekal fokus untuk bersaing sehingga penamat,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu Muhammad Sahir berpendapat banyak aspek positif telah diperolehi Nuraisyah-Juni memandangkan mereka tiada pendedahan di luar negara selain pertandingan di dalam negara sejak hampir dua tahun lepas susulan pandemik COVID-19.

Walaupun tanpa aksi kompetitif, beliau tetap bangga menyaksikan kemampuan pasangan negara itu yang dapat memberi saingan hebat termasuk mengatasi pelayar dunia yang kebanyakannya mempunyai kelebihan dari segi latihan dan pengalaman menyertai kejohanan antarabangsa sebelum ini.- Bernama