Malaysia tawar kepakaran, pengalaman pengurusan bencana kepada Brunei

Wan Azizah dibawa melawat kelas kemahiran yang diberikan kepada golongan kurang upaya ketika melakukan lawatan di Pusat Bahagia Brunei hari ini. - Foto Bernama
Wan Azizah dibawa melawat kelas kemahiran yang diberikan kepada golongan kurang upaya ketika melakukan lawatan di Pusat Bahagia Brunei hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

BANDAR SERI BEGAWAN - Malaysia menawarkan kepakaran dan pengalaman kepada Brunei dalam pengurusan bencana menerusi kolaborasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan Brunei.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, antara kepakaran yang mampu ditawarkan NADMA adalah pensijilan Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (INSARAG).

Katanya, Malaysia yang merupakan sebahagian daripada anggota INSARAG, boleh menawarkan pengalaman serta kepakaran untuk Brunei sekali gus mereka mungkin dapat menganggotai kumpulan berkenaan.

"Kita boleh menawarkan pengalaman dan kepakaran, dan Brunei boleh menawarkan kepada kita infrastruktur dan kemudahan untuk latihan. Brunei ada peralatan mencukupi untuk latihan pengurusan bencana," katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini, sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur.

Pada lawatan hari ini, Dr Wan Azizah melawat NDMC dan bertukar pandangan serta perbincangan mengenai sistem pengurusan bencana di antara kedua-dua negara dengan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Brunei Pehin Datuk Seri Dr Awang Abu Bakar Apong.

Sementara itu, ketika menghadap Putera Mahkota Brunei yang juga Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah, Dr Wan Azizah berkata, perbincangan menjurus kepada cara-cara praktikal dalam mengukuhkan lagi hubungan akrab yang terjalin sekian lama antara kedua-dua negara.

Katanya, beliau turut dimaklumkan oleh Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah bahawa Brunei sedang membina jambatan sepanjang 30 kilometer yang akan menghubungkan Daerah Brunei Muara dan Daerah Temburong.

“Saya yakin dengan adanya jambatan tersebut, yang dijangka dibuka pada awal tahun hadapan, ia akan menghasilkan limpahan yang positif, khususnya di Lawas, Sarawak,” kata Dr Wan Azizah lagi.

Artikel Berkaitan:

Dalam pertemuan itu, Dr Wan Azizah berkata, mereka turut membincangkan usaha untuk mengadakan kerjasama di dalam bidang sosio ekonomi.

Dalam hal ini, beliau yakin terdapat skop yang luas boleh dilakukan secara bersama, memandangkan kedua-dua negara mempunyai nilai budaya dan kemasyarakatan yang sama.

Dalam pertemuan itu yang turut menyentuh isu Rohingnya Dr Wan Azizah berkata Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah memaklumkan Brunei terbuka untuk menyalurkan bantuan melalui Hospital Medan di Kem Cox's Bazaar.

Beliau berkata, sebelum ini Brunei telah memberi bantuan dengan membiayai pam air bagi kegunaan hospital tersebut.

Siri lawatan dua hari Dr Wan Azizah ke Brunei diakhiri dengan melawat Pusat Bahagia Daerah Muara, sebuah institusi latihan untuk kanak-kanak keperluan khas.

Sementara itu, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata secara keseluruhannya lawatan rasminya ke Brunei berjaya mencapai matlamatnya, dalam memperkukuhkan lagi kerjasama serta meningkatkan persefahaman sedia terjalin antara Malaysia dan Brunei.

Lawatan rasmi ke Brunei ini antara siri lawatan pengenalan beliau ke negara ASEAN selepas dilantik Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada Mei tahun lepas. - Bernama