JAIS teliti semula penglibatan NGO Islam dalam pengurusan jenazah Covid-19

Mohd Shahzihan Ahmad
Mohd Shahzihan Ahmad
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengambil keputusan untuk meneliti, menilai dan menstruktur semula peranan serta penglibatan badan bukan kerajaan (NGO) Islam dalam pengurusan jenazah Covid-19 di negeri ini.

Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, ketetapan itu dibuat setelah beberapa isu berbangkit melibatkan NGO berikutan kes jenazah yang mengambil masa lama untuk diuruskan di beberapa hospital di Selangor.

Beliau memberitahu, JAIS sememangnya mengakui penglibatan NGO memberi sumbangan besar dalam pengurusan jenazah Covid-19.

"Bagaimanapun, penglibatan pihak berkenaan tetap perlu diselaras, dipantau dan dibantu sesuai dengan tanggungjawab JAIS sebagai agensi yang mengurus hal ehwal Islam di Selangor," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Justeru, tegas beliau, mana-mana NGO yang berhasrat untuk bersama JAIS adalah dipelawa untuk bersama-sama rakan NGO sedia ada untuk menunaikan tuntutan fardu kifayah dengan syarat sanggup mematuhi syarat dan kod etika yang ditetapkan JAIS.

“NGO yang diiktiraf hendaklah melaksanakan tanggungjawabnya berdasarkan prinsip hukum syarak, khidmat bakti dan mengutamakan kepentingan umum.

“JAIS komited dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak atau individu yang mengenepikan kepentingan umum dan mengeksploitasi keadaan genting ini untuk kepentingan lainnya,” katanya.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan mengenai penjelasan JAIS berhubung beberapa dakwaan dibangkitkan oleh NGO berkaitan ketetapan baharu pengurusan jenazah Covid-19 di Selangor.

Artikel Berkaitan:

Kenyataan yang dikeluarkan oleh sebuah NGO dikenali sebagai Unit Kenderaan Van Jenazah (UKVJ) yang menggunakan akaun nama Facebook, Mr Wan Cai Official pada Sabtu mendakwa JAIS tidak lagi membenarkan mana-mana NGO menguruskan jenazah Covid-19 di semua hospital di Selangor.

Mohd Shahzihan berkata, beberapa pihak 'menyerang' JAIS di media sosial sebelum ini boleh menimbulkan perspektif buruk terhadap dasar baharu itu yang telah dikuatkuasakan sejak 28 Julai lalu.

“JAIS menjalin kerjasama berterusan dengan lebih lapan NGO dengan kekuatan lebih 130 sukarelawan yang terlibat secara langsung dan menghargai sumbangan pihak tersebut yang mengendalikan pengurusan sebanyak 2,071 jenazah Covid-19 dengan baik sejak Januari 2021.

“Sebarang ketetapan, pendekatan yang dilaksanakan oleh JAIS adalah demi kepentingan umat Islam seluruhnya dan semua pihak termasuk pihak hospital, para petugas, sukarelawan, keluarga atau waris, agensi serta pihak-pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung,” katanya.