X

Kindly register in order to view this article
!

Tahanan suami isteri didakwa dipukul, polis buka kertas siasatan

Rakaman kamera litar tertutup di sebuah rumah di Setapak.
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Wangsa Maju membuka kertas inkuiri bagi menyiasat dakwaan sepasukan anggota polis mencederakan tahanan pasangan suami isteri.

Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Deputi Superintenden D Saralathan berkata, pihaknya telah mengesan satu hantaran yang tular di laman sosial Facebook berkaitan isu itu pada Isnin.

"Hantaran tersebut dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook yang mengandungi gambar serta laporan polis yang mendakwa sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju telah mencederakan dan mengasari isterinya," katanya.

Saralathan berkata, hasil semakan mendapati sepasukan anggota polis telah menjalankan serbuan di sebuah rumah di Setapak pada jam 4.40 petang, 25 Julai lalu.

"Semasa serbuan dijalankan, seorang lelaki bersama isterinya, masing-masing berusia 41 dan 31 tahun telah membuat provokasi dengan mengeluarkan kata-kata kesat dan menjerit bagi mendapatkan perhatian penduduk sekitar.

"Mereka juga tidak memberikan kerjasama dan telah menghalang pihak polis daripada menjalankan tugas sehingga berlaku pergelutan antara pihak polis dengan pasangan tersebut," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek telah dibawa ke Pejabat Narkotik IPD Wangsa Maju untuk ujian saringan air kencing dan didapati suspek lelaki positif dadah dan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Suspek wanita pula didapati negatif dadah. Kedua-dua suspek turut ditahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas dan direman selama tempoh dua hari," katanya.

Menurutnya, selepas dibebaskan dengan jaminan polis pada jam 2.32 petang, Sabtu, pasangan tersebut telah membuat laporan polis di Balai Polis Setapak dengan menyatakan bahawa mereka telah dipukul oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Wangsa Maju.

"Susulan laporan polis yang dibuat, satu kertas inkuiri telah dibuka bagi tujuan menyiasat tindakan anggota polis sama ada mengikut peraturan dan undang-undang atau sebaliknya. Siasatan yang terperinci dan telus akan dijalankan," katanya.

Saralathan berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan jika wujud sebarang salah laku dalam kalangan pegawai dan anggota polis.

"Justeru, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan, boleh menyalurkannya ke IPD Wangsa Maju di talian 03-9289 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/ 585 atau mana-mana balai polis yang berdekatan," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!