Masyarakat kurang peka keadaan cuaca panas

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Masyarakat hari ini dilihat kurang peka dengan fenomena cuaca panas yang melanda negara yang dijangka berterusan hingga hujung Mac ini.

Anggota Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Doktor Islam Malaysia (Perdim), Dr Zubaidi Ahmad berkata, sikap sambil lewa masyarakat itu boleh menjejaskan kesihatan sehingga mengancam nyawa mereka.

“Kalau diikutkan, trend masalah (cuaca panas) ini berlaku hampir setiap tahun dan ia seolah-olah bermusim. Apabila keadaan ini berlaku, lazimnya akan menimbulkan dua masalah kesihatan iaitu solar radiasi (kesan jangka panjang) dan strok haba (kesan jangka pendek) kerana terlalu terdedah kepada cahaya matahari.

“...tetapi, biasalah di negara kita, selagi tiada apa-apa yang berlaku seperti kematian, masyarakat kita hanya buat tidak tahu. Apabila ada kematian, baru mereka (masyarakat) akan tersedar dan mula berhati-hati,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Menurutnya, kedudukan Malaysia yang dikelilingi lautan menjadikan masyarakat tidak dapat melihat akan kesan cuaca panas itu secara langsung.

“Kita bukan seperti di Padang Pasir Sahara yang sememangnya mengalami kekurangan air. Malah, kita juga dapat minum air dengan kadar yang bersesuaian.

“Namun, kita tidak sedar, ada satu masa, tiba-tiba ramai sangat kanak-kanak atau warga emas datang ke klinik kerana mengalami demam atau asma yang berpunca daripada masalah dehidrasi akibat cuaca panas,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Zubaidi berkata adalah penting kerjasama atau arahan daripada pihak yang berautoriti seperti Kementerian Kesihatan dan Jabatan Meteorologi dalam memantau perkara itu.

Artikel Berkaitan:

“Masyarakat sentiasa memerlukan notifikasi daripada pihak berwajib bagi mengelakkan berlakunya kejadian yang tidak diingini," tambahnya. - Bernama