Ringgit ditutup tinggi

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS pada Selasa menjejaki harga minyak mentah Brent yang kukuh, kata penganalisis.

Pada 6 petang, unit tempatan meningkat kepada 4.2185/2215 berbanding mata wang negara maju itu daripada 4.2240/2255 ketika ditutup Isnin.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, mata wang tempatan diniagakan tinggi dalam keadaan China dilaporkan melaksanakan kembali langkah sekatan pergerakan dan membatalkan penerbangan susulan peningkatan semula kes Covid-19 di negara itu.

“Sentimen mungkin didorong oleh kesan limpahan positif dari Indonesia yang menyasar untuk membuka semula ekonominya secara beransur-ansur pada September selepas menteri kesihatan republik itu memaklumkan gelombang jangkitan virus berkenaan telah melepasi kemuncaknya,” katanya.

Semasa laporan ini ditulis, harga minyak mentah Brent yang menjadi penanda aras antarabangsa berada pada AS$73.47 setong.

Sementara itu, semasa penutupan, ringgit diniagakan tinggi kebanyakannya berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.1223/1247 daripada 3.1256/1272 ketika ditutup pada Isnin serta meningkat berbanding euro kepada 5.0128/0164 daripada 5.0240/0262.

Ringgit mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.8696/8738 daripada 5.8794/8815 bagaimanapun rendah berbanding yen kepada 3.8638/8666 daripada 3.8554/8571.

Artikel Berkaitan: