Dua kali terjun laut mahu rentas negeri

Gambar tular mangsa terjun ke dalam laut di Jeti Tanjung City Marina sebelum diselamatkan oleh Pasukan Polis Marin (PPM). -Foto Ihsan pembaca.
Gambar tular mangsa terjun ke dalam laut di Jeti Tanjung City Marina sebelum diselamatkan oleh Pasukan Polis Marin (PPM). -Foto Ihsan pembaca.
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang lelaki yang sebelum ini diselamatkan dan ditahan kerana cuba merentas daerah tanpa kebenaran dengan berenang di perairan Pulau Pinang sekali lagi ditahan atas kesalahan sama pada Isnin.

Namun pada Selasa, lelaki itu memberi alasan mahu berenang pergi ke tanah suci Makkah ketika diselamatkan selepas ditemukan terapung di tengah laut perairan Pulau Pinang di atas pelampung gabus styrofoam oleh pihak berkuasa pada 4.45 petang selepas dimaklumkan oleh orang awam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, lelaki berusia 28 tahun sebelum itu telah terjun ke dalam laut di Jeti Tanjung City Marina di sini sebelum diselamatkan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) dan dia adalah individu sama dalam kejadian dilaporkan sebelum ini yang mahu pergi ke Seberang Perai.

"Kejadian itu telah tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi dari warganet, hasil siasatan awal, lelaki berkenaan adalah lelaki sama dalam kejadian dilaporkan pada 12 Julai lepas.

"Dia bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh PPM dan kali ini memberi alasan mahu berenang untuk ke Tanah Suci Makkah," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Soffian memberitahu, pihak polis telah membawa lelaki itu ke Hospital Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan dan penilaian tahap kesihatan mental namun dia tidak mengalami sebarang masalah mental.

Katanya, lelaki itu kini ditempatkan di Wad Psikiatrik Jalan Perak di sini untuk rawatan lanjut manakala ujian saringan awal air kencing mendapati dia negatif dadah.

"Dia sebelum ini dihantar untuk rawatan pemulihan di Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) kerana ketagihan dadah yang serius oleh ibu bapanya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, seorang lelaki dilaporkan nekad berenang menyeberangi laut dari Jeti Tanjung City Marina di sini menuju ke Seberang Perai, Butterworth hanya semata-mata ingin berjumpa rakannya.

Dalam kejadian 6 petang, 12 Julai lepas itu, lelaki berkenaan nekad terjun ke laut selepas gagal untuk mendapatkan kelulusan permit rentas daerah dari polis kerana tiada alasan munasabah bagi tujuan tersebut.

Dia bagaimanapun berpatah balik menghala ke jeti feri di sini kerana kepenatan dan hasil pemeriksaan, lelaki itu mengalami patah tangan kanan dan dirawat di wad di HPP.