Pemuda SAPP lapor polis MP berhimpun langgar SOP

Dexter (kanan) bersama Charles (kiri) menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Karamunsing, Kota Kinabalu.
Dexter (kanan) bersama Charles (kiri) menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Karamunsing, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Satu laporan polis dibuat oleh Pemuda Parti Maju Sabah (SAPP) terhadap perhimpunan besar-besaran yang dihadiri oleh ahli-ahli Parlimen di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada Isnin.

Laporan polis itu dibuat oleh Naib Ketua Pemuda SAPP, Dexter Chin di Balai Polis Karamunsing kira-kira jam 1.30 petang Selasa.

Menurut Dexter, laporan itu dibuat susulan sebuah video yang dirakam secara langsung dan disiarkan pada jam 1 petang Isnin.

"Dalam siaran langsung, MP (ahli Parlimen) ini memberi contoh buruk kepada rakyat, mereka melanggar prosedur operasi standard (SOP), ramai yang dilihat tidak mengawal jarak sosial.

"Walaupun dalam pengetahuan (mereka) bahawa sidang Parlimen telah ditunda, ini jelas memberikan contoh buruk kepada rakyat," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Katanya, antara ahli Parlimen yang dilihat berkumpul di Dataran Merdeka termasuk Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad.

Selain itu, Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; pengasas Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin, Ahli Parlimen Tawau, Datuk Christina Liew dan lain-lain turut dilihat berkumpul.

Sehubungan itu, Dexter berkata, pihak berkuasa harus mengambil tindakan terhadap individu terbabit.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Ketua Penerangan Pemuda SAPP, Charles Gokin.