X

Kindly register in order to view this article
!

Keabsahan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri terbatal: UMNO

Ahmad Zahid (tengah) ketika sidang media pada Selasa.
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] UMNO mengambil pendirian tidak mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekali gus menyaksikan keabsahan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kini terbatal.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan berkenaan dibuat dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang berlangsung pada Selasa.

"Surat akuan (SD) ahli Parlimen UMNO yang mencukupi bagi menzahirkan penarikan sokongan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri telah pun saya persembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Ia sekali gus menunjukkan kepimpinan beliau sudah hilang majoriti dan keabsahan beliau selaku ketua kerajaan ini telah terbatal," katanya pada sidang media secara maya pada Selasa.

Menurutnya, UMNO juga memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada Al-Sultan Abdullah dan tidak akan mempertahankan kerajaan pimpinan Muhyiddin yang ternyata gagal pada mata rakyat.

Tambahnya, kenyataan terbaharu Muhyiddin pada Selasa juga tidak menjernihkan masalah, bahkan menyerlahkan lagi kekhilafan kerajaan yang jelas telah menyanggah titah Seri Paduka Baginda.

"Hakikatnya Al-Sultan Abdullah sudah beberapa kali menitahkan untuk semua Ordinan Darurat dibahaskan dan dirungkaikan sebelum 1 Ogos 2021, bukannya pada bulan September 2021 iaitu persidangan Parlimen yang akan datang," katanya.

Muhyiddin pada Selasa memaklumkan sebarang usul untuk membahas dan mengungkaikan Ordinan-ordinan Proklamasi Darurat boleh dibawa dalam sidang Parlimen yang dijadualkan berlangsung pada September depan.

Menerusi satu kenyataan, Muhyiddin berkata, ia susulan proses pembatalan Ordinan-ordinan Darurat oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah seperti yang disembah nasihat oleh Jemaah Menteri pada 23 Julai lalu tidak dapat disempurnakan.

Sehubungan itu, dengan berakhirnya Proklamasi Darurat pada 1 Ogos lalu berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, pembatalan Ordinan-ordinan Darurat oleh Yang di-Pertuan Agong tidak lagi berbangkit.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!