Saman SRC: Najib, empat lagi diarah fail penyataan pembelaan

NAJIB
NAJIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengarahkan Datuk Seri Najib Tun Razak serta empat defendan lain menjawab saman yang difailkan oleh SRC International Sdn Bhd terhadap mereka atas dakwaan pecah amanah dan pelanggaran kewajipan statutori berkaitan pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) kepada SRC selewat-lewatnya pada 30 Ogos ini.

Empat defendan terbabit ialah bekas pengarah SRC iaitu Datuk Suboh Md Yassin, Nik Faisal Ariff Kamil, Datuk Mohammed Azhar Osman dan Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar.

Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang hadir bagi pihak bekas perdana menteri itu berkata, mahkamah juga telah mengarahkan agar SRC memfailkan jawapan terhadap pembelaan itu selewat-lewatnya pada 30 Sept.

“Mahkamah telah menetapkan 4 Oktober untuk pengurusan kes selanjutnya," katanya kepada pemberita selepas prosiding pengurusan kes pada Selasa yang dikendalikan secara dalam talian di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin.

Beliau berkata, sementara itu, SRC sedang melakukan persiapan untuk mengemukakan permohonan mendapatkan perintah penyampaian ganti bagi menyerahkan writ saman kepada Nik Faisal memandangkan beliau tidak dapat dihubungi dan berada di luar bidang kuasa (di luar negara).

Pada 7 Mei lepas, SRC di bawah pengurusan baharu telah memfailkan saman saman itu dan menamakan Najib serta bekas pengarah syarikat tersebut iaitu Suboh, Mohammed Azhar, Nik Faisal, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Tan Sri Ismee Ismail dan Che Abdullah sebagai defendan.

Bagaimanapun, pada 22 Julai lepas, SRC telah mengeluarkan nama Ismee dan Shahrol Azral daripada saman itu dan mengekalkan yang lain sebagai defendan.

SRC, anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selaku plaintif, dalam writ samannya mendakwa semua defendan berkomplot dan melakukan pecah amanah selain mendakwa bekas perdana menteri itu menyalahgunakan kuasa dan memperoleh manfaat peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Najib adalah Penasihat Emeritus SRC dari 1 Mei 2012 hingga 4 Mac 2019.

SRC yang kini dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD), menuntut perisytiharan supaya semua defendan bertanggungjawab membayar kerugian dana pelaburan akibat penggunaan jumlah pinjaman itu selain ganti rugi am, teladan, tambahan dan faedah, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

SRC berkata, pada Januari 2019, syarikat itu diletakkan di bawah jagaan pegawai Kementerian Kewangan (pengurusan baharu).

Selepas meneliti serta menyemak rekod SRC, didapati pengarah terdahulu tidak mengambil sebarang langkah munasabah bagi memastikan pinjaman KWAP berjumlah RM4 bilion kepada SRC pada 2011 dan 2012 digunakan dengan betul bagi membiayai aktiviti pelaburan am syarikat itu serta keperluan modal kerja am.

SRC mendakwa, pengarah terdahulu tidak memantau pelupusan RM3.6 bilion kepada SRC BVI (dana pelaburan dicadangkan) kononnya bagi SRC melaksanakan aktiviti pelaburan dalam sektor sumber tenaga di luar negara.

Mereka juga gagal memantau keterdedahan kerajaan Malaysia berhubung jaminan yang diberikan kepada SRC selain gagal menyiasat tentang penyelewengan dana SRC.

"Pengurusan baharu itu mendapati sejumlah besar pengeluaran, pemindahan dan penggunaan pinjaman KWAP adalah secara penipuan atau salah," menurut syarikat itu. - Bernama