1,840 divaksin menerusi CIMIC

Seramai 1,840 penduduk Felda Sungai Panching Selatan dan PAKR Panching,akan menerima suntikan vaksin menerusi Civil-Military Cooperation (CIMIC) program imunisasi Covid-19 anjuran Markas Angkatan Bersama. - Gambar hiasan
Seramai 1,840 penduduk Felda Sungai Panching Selatan dan PAKR Panching,akan menerima suntikan vaksin menerusi Civil-Military Cooperation (CIMIC) program imunisasi Covid-19 anjuran Markas Angkatan Bersama. - Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Seramai 1,840 penduduk Felda Sungai Panching Selatan dan Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Panching, di sini akan menerima suntikan vaksin menerusi Civil-Military Cooperation (CIMIC) program imunisasi Covid-19 anjuran Markas Angkatan Bersama.

Markas Angkatan Bersama dalam kenyataan di sini memaklumkan, program selama tiga hari bermula Selasa bertempat di Dewan Semai Bakti Felda Sungai Panching Selatan diharap dapat mempercepatkan program imunisasi sekali gus mencapai imuniti kelompok di daerah Kuantan amnya dan Pahang khasnya.

Menerusi program yang mendapat kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan yang menyediakan vaksin dan petugas kesihatan itu, kira-kira 600 penduduk dapat divaksin setiap hari dengan suntikan dos kedua dijangka bermula 24 Ogos.

"Selain itu, pengurusan Felda dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Penduduk (JKKK) Felda Sungai Panching Selatan dan JKKK PAKR Panching turut berkerjasama menjayakan program ini.

"Markas Angkatan Bersama akan terus melaksanakan program berimpak tinggi kepada rakyat Malaysia melalui program CIMIC yang dirancang pada masa akan datang," menurut kenyataan itu.

Program dihadiri Panglima Angkatan Bersama Leftenan Jeneral Datuk Yazid Arshad dan Ahli Parlimen Paya Besar Mohd Shahar Abdullah yang turut meninjau proses pemberian vaksin selain mendengar taklimat pelaksanaannya. - Bernama

Artikel Berkaitan: