Lambakan durian di Jeli: Dermawan diseru bantu pekebun

Dermawan dan orang ramai yang prihatin diseru untuk memborong durian di Jeli dan Tanah Merah, Kelantan bagi membantu pekebun durian sekali gus menyelesaikan masalah lambakan buah tersebut. Gambar hiasan 123rf
Dermawan dan orang ramai yang prihatin diseru untuk memborong durian di Jeli dan Tanah Merah, Kelantan bagi membantu pekebun durian sekali gus menyelesaikan masalah lambakan buah tersebut. Gambar hiasan 123rf
A
A
A

KOTA BHARU - Dermawan dan orang ramai yang prihatin diseru untuk memborong durian di Jeli dan Tanah Merah, Kelantan bagi membantu pekebun durian sekali gus menyelesaikan masalah lambakan buah tersebut.

Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (Lanas Jedok) Tanah Merah Zulkifli Yunus berkata, ketika ini berlaku lambakan durian di jajahan berkenaan yang dijangka berlarutan tiga hingga empat minggu lagi kerana masih di pertengahan musim dan ada sesetengah kawasan durian baru mula luruh.

“Antara kawasan berlaku lambakan durian ialah di Jeli dan sebahagian Tanah Merah membabitkan sekitar 1,000 pekebun durian. Lambakan menyebabkan harga jualan durian jatuh sehingga mencecah antara RM1 hingga RM2 sekilogram malah ada yang terpaksa menjual pada harga 50 sen sekilogram.

“Oleh itu, kami menyeru dermawan datang ke Jeli memborong durian bagi membantu pekebun durian ini. Mereka boleh menyumbang dan mengagihkan buah durian tersebut kepada orang yang memerlukan termasuk kepada petugas barisan hadapan,” katanya kepada pemberita di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Pengkalan Chepa, di sini pada Selasa

Beliau sebelum itu mengagihkan sumbangan buah-buahan tempatan termasuk durian, manggis dan rambutan sebanyak dua tan kepada petugas barisan hadapan yang ditaja oleh Pengarah Urusan AK Puyuh Emas Abdul Khairan Firdaus Abdul Rahim.

Mengulas lanjut Zulkifli berkata, lambakan berlaku susulan prosedur operasi standard (SOP) Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang menjadi kekangan kepada pembekal dan pemborong membuat urusan jual beli.

“Bukan tidak boleh langsung membawa hasil durian ini ke luar, tetapi terdapat beberapa masalah membabitkan proses penghantaran dan sebagainya.

“Jadi, bagi mengelakkan buah terbiar dan rosak sehingga berlaku pembaziran, sesetengah pekebun durian mengambil inisiatif membuat tempoyak atau lempuk,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini media melaporkan, lambakan durian di sekitar Jeli dan Tanah Merah menyebabkan harga borong ‘raja’ buah itu jatuh ke paras 50 sen hingga RM1.50 sekilogram manakala harga runcit sekitar RM2 hingga RM2.50 sekilogram, yang didakwa pekebun durian paling rendah dalam tempoh puluhan tahun.

Sementara itu, Abdul Khairan Firdaus berkata, beliau berbelanja hampir RM3,000 bagi membeli dua tan buah-buahan tempatan termasuk durian dari Pertubuhan Peladang Kawasan Lanas Jedok dan diagihkan kepada petugas barisan hadapan di sekitar Kota Bharu.

“Dengan adanya usaha ini sekurang-kurangnya saya dapat membantu beberapa pekebun kecil durian di Jeli, pada masa sama menggembirakan hati petugas barisan hadapan yang banyak berjasa sepanjang pandemik Covid-19,” katanya.