Harap Stadium Darul Aman penuh Sabtu ini

Pemain-pemain Kedah memerlukan sokongan padu penyokong setia Sabtu ini bagi memenuhi gelanggang keramat Hijau Kuning untuk memberi tekanan kepada PKNS FC. - Foto AHMAD ZAKI OSMAN
Pemain-pemain Kedah memerlukan sokongan padu penyokong setia Sabtu ini bagi memenuhi gelanggang keramat Hijau Kuning untuk memberi tekanan kepada PKNS FC. - Foto AHMAD ZAKI OSMAN
A
A
A

SIARAN langsung dua perlawanan di televisyen membabitkan pasukan Kedah di laman sendiri diharapkan tidak melunturkan semangat penyokong Kedah untuk memenuhi Stadium Darul Aman bagi aksi menentang PKNS FC pada Sabtu ini.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Mohd Asmirul Anuar Aris berkata, sokongan menyokong yang memenuhi stadium mampu menaikkan lagi semangat dan moral pasukan memburu tiga mata penting untuk kekal sebagai pendahulu Liga Super 2019.

Menurutnya, beliau akui kehadiran penyokong pada aksi sulung di Alor Setar ketika menang 4-0 ke atas Felda United agak sederhana walaupun Lang Merah berada pada momentum terbaik apabila belum tewas sejak empat perlawanan lalu.

"KFA sangat berharap semua penyokong akan memenuhi Stadium Darul Aman pada Sabtu ini kerana PKNS FC adalah salah satu lawan yang liat untuk ditewaskan kerana mereka juga adalah kelab yang berada pada kelompok empat pasukan terbaik liga super setakat ini.

"Biarpun akan ada siaran langsung pada Sabtu ini membabitkan aksi Kedah bertemu PKNS FC, KFA berharap kesetian penyokong tidak akan tergugat dan tetap hadir memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Lang Merah,"katanya kepada Sukan Sinar.

Mohd Asmirul berkata, kehadiran puluhan ribu penyokong setia yang membanjiri stadium setiap kali perlawanan di laman sendiri sebenarnya turut membantu dari sudut kantung kewangan persatuan tersebut.

Jelasnya, KFA tidak senang duduk apabila melihat kehadiran penyokong yang agak sederhana pada aksi menentang Felda United 16 Februari lalu.

"Pembelian tiket oleh penyokong sebenarnya adalah salah satu cara buat KFA untuk menjana pendapatan yang akan digunakan untuk pengurusan persatuan dan pemain dari semasa ke semasa," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, Lang Merah kini berdepan tiga perlawanan yang sukar bermula PKNS FC, diikuti Pahang pada 8 Mac di Kuantan dan JDT FC pada 29 atau 31 Mac di Alor Setar.

Kedah kini muncul selaku pendahulu Liga Super 2019 selepas empat perlawanan berkongsi 10 mata sama dengan JDT namun dibezakan jumlah perbezaan gol untuk berada di tangga kedua.