Malaysia bawa isu vaksin, Myanmar sempena AMM ke-54

Hishammuddin Tun Husein
Hishammuddin Tun Husein
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia akan menekankan kepada tiga perkara utama termasuk kepentingan untuk negara-negara ASEAN memberi pengiktirafan bersama terhadap vaksin Covid-19 pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-54 (AMM) yang berlangsung minggu ini.

Menteri Kanan Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mewakili Malaysia di mesyuarat itu dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan berkata, pengiktirafan bersama vaksin khususnya sesama negara ASEAN penting bagi memudahkan perjalanan rentas sepadan pada masa hadapan.

"Penekanan kedua adalah pada ‘5-point Consensus’ bagi mencari jalan penyelesaian terhadap kemelut politik di Myanmar," katanya dalam catatan terbaru di Facebook beliau pada Selasa.

Hishammuddin memberitahu, ‘5-point Consensus’ itu yang dipersetujui semasa Mesyuarat Pemimpin Tertinggi ASEAN April lalu mesti dilaksanakan segera terutamanya dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Myanmar.

“Ketiga, Myanmar mesti pastikan Utusan Khas Pengerusi ASEAN serta delegasinya diberi akses sepenuhnya untuk bertemu semua pihak berkepentingan,” katanya.

Selain itu katanya, mesyuarat turut membincangkan mengenai perkembangan usaha pembinaan Komuniti ASEAN, bidang utama dan keberhasilan ASEAN dan permohonan untuk menjadi rakan dialog ASEAN.

Tambah beliau, isu serantau dan antarabangsa serta ASEAN Travel Corridor Arrangement Framework juga akan dibincangkan.

Antara mesyuarat yang disertai Hishammuddin ialah Mesyuarat Menteri–Menteri Luar ASEAN+3 Ke-22 (APT FMM Ke-22), Mesyuarat Suruhanjaya Kawasan Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ), Mesyuarat Majlis Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC) ke-23 dan Mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN (ACC) ke-29.

Artikel Berkaitan:

Lain-lain mesyuarat ialah Mesyuarat Menteri–Menteri Luar ASEAN–ROK, Mesyuarat Menteri–Menteri Luar ASEAN-China, Mesyuarat Menteri–Menteri Luar ASEAN–Jepun, Mesyuarat Menteri–Menteri Luar ASEAN–Amerika Syarikat dan Mesyuarat Menteri–Menteri Luar ASEAN–Australia.

Menurut kenyataanWisma Putra Ahad lalu, Malaysia sebagai Negara Penyelaras untuk hubungan dialog ASEAN-Australia 2018-2021, Hishammuddin dan rakan sejawatannya dari Australia, Senator Marise Payne akan bersama mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN-Australia. -Bernama