X

Kindly register in order to view this article
!

Jun Hoong mampu buat kejutan

Cheong Jun Hoong
A
A

SHAH ALAM - Aksi ratu terjun negara, Cheong Jun Hoong dalam acara 10 meter platform individu wanita di Sukan Olimpik Tokyo 2020 esok, wajib diberi perhatian kerana dijangka mampu memberi kejutan dalam ‘menghadiahkan’ kilauan pingat kepada kontinjen negara.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, juara dunia 2017 itu disifatkan sebagai ‘dark horse’ yang perlu diberi perhatian selain Pandelela Rinong yang akan turun beraksi pada acara sama esok.

“Dalam pengamatan saya selaku timbalan menteri, kita ada Cheong, Pandelela dan pelumba berbasikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang, mereka semua merupakan prospek pemenang pingat. Warna apa itu kita serah pada takdir,” katanya kepada pemberita sempena lawatan beliau ke pusat pemberian vaksin (PPV) di Universiti Teknologi Mara Shah Alam pada Selasa.

Selain itu, Wan Ahmad Fayhsal berkata, Azizulhasni yang bakal turun ke gelanggang dalam acara pecut pada esok, 5 dan 6 Ogos diikuti acara keirin pada 7 dan 8 Ogos berkata, pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu meletakkan sendiri penanda aras untuk memenangi emas dalam acara yang diwakili beliau.

“Jadi beliau alhamdulillah yakin, tenang, dan ini Olimpik keempatnya. Beliau akan buat yang terbaik. Insya-ALLAH kalau tidak ada aral melintang, dia boleh menang pingat emas pertama kita,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Nasional berkata, lebih ramai ahli Armada di Selangor dan Kuala Lumpur akan digerakkan untuk #Misi100 jam dalam menjayakan lonjakan kapasiti pemberian vaksin di Lembah Klang termasuk memastikan warga emas dan orang kurang upaya (OKU) mendapat khidmat pengangkutan dari kediaman ke PPV.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, gerakan sukarelawan Armada yang telah dilancarkan pada Mei lalu itu membabitkan 5,000 ahlinya di seluruh negara berfungsi selaku misi khidmat sosial dalam meningkatkan kapasiti sukarelawan di PPV di seluruh negara. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!