'Anwar diminta kemuka bukti bukan ulangi dakwaan kosong'

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Pas Selangor membidas kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa mempunyai cukup sokongan untuk menjadi Perdana Menteri kesembilan apabila 107 sokongan ahli Parlimen berada di belakangnya.

Setiausahanya, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, ahli Parlimen Port Dickson itu sepatutnya membuktikan kenyataan beliau secara bertulis untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Roslan Shahir Mohd Shahir
Roslan Shahir Mohd Shahir

"Dataran Merdeka bukan tempatnya. Jika benar Anwar punya cukup sokongan sebagaimana didakwanya, bukti dan senaraikan dan jadikan ia sebagai bukti bertulis untuk disembah kepada Yang Dipertuan Agong.

"Tidak perlu berarak, tidak perlu langgar prosedur operasi standard (SOP) dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tidak perlu serah diri pada virus Covid-19, tidak perlu susahkan anggota polis dan orang awam, zahirkan angka itu once and for all," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Pada Isnin, Anwar sekali lagi mengumumkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah tumbang dan mendakwa beberapa ahli Parlimen PN telah menyatakan menarik sokongan daripada kerajaan.

Di hadapan ahli-ahli Parlimen pembangkang ketika berhimpun di Dataran Merdeka sebelum berarak ke Parlimen pada pagi Isnin, Anwar mendakwa, beliau memiliki sebanyak 107 sokongan.

Dalam pada itu, Roslan Shahir berkata, pada September 2020 ketua pembangkang itu dengan lantang mengisytiharkan dalam satu sidang akhbar bahawa beliau memiliki sokongan yang strong, formidable and convincing daripada ahli-ahli Parlimen, cukup untuk merampas kuasa daripada Perdana Menteri.

Namun malang apabila dakwaan Anwar itu, katanya, hanya tinggal dakwaan kosong yang tidak terbukti dan beliau seterusnya gagal untuk menggugat kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan:

"Semalam, sekali lagi Anwar beraksi. Di bawah terik matahari berhampiran Dataran Merdeka beliau sekali lagi isytiharkan kali ini bahawa kononnya beliau punya 107 MP (ahli Parlimen) di belakangnya selain beberapa MP kerajaan yang dikatakan akan tarik balik sokongan terhadap kerajaan PN dan menyokong beliau," katanya.

Roslan Shahir berkata, rakyat mahu tahu sama ada benar Anwar punya sokongan atau ketua pembangkang itu sekadar membuat dakwaan kosong semata-mata kerana mahu mencetuskan ketidaktentuan dan ketegangan dalam masyarakat.